Berita UtamaUtama

Undi18 tingkatkan penyertaan anak muda dalam medan politik

Blok pembangkang berpotensi jadi pemangkin, pendukung kerajaan

BANGI, 14 Zulkaedah 1440H, Rabu – Keputusan pindaan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, telah melakar sejarah baru dalam negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, bukan itu sahaja, ia juga telah menyaksikan bahawa ‘constructive opposition’ atau ‘pembangkang membina’ berpotensi menjadi pemangkin dan pendukung kerajaan dalam usaha ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Biar sekalipun idea #Undi18 datang dari pihak kerajaan, tetapi kami di blok pembangkang tidak menolak mentah-mentah, bahkan meneliti dan menambah baik agenda ini agar disertakan dengan sistem daftar undi secara automatik.

“Cadangan ini juga secara tidak langsung telah meningkatkan kadar penyertaan anak muda di dalam medan politik negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau menegaskan, semua blok pembangkang berserta ahli-ahlinya perlu konsisten dengan komitmen yang telah ditunjukkan kepada kerajaan dan rakyat. 

“Pembangkang membina perlu proaktif menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan dan memacu ke arah kesejahteraan sejagat.

“Semoga dengan adanya pindaan ini, Malaysia bakal menjadi negara demokrasi yang lebih terkehadapan berbanding negara-negara lain,” katanya.

Semalam, sejarah baharu tercipta apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU berkenaan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warga negara yang layak mengundi menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu turut bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close