Berita UtamaUtama

Sokong bapa Adib bawa Tommy Thomas ke muka pengadilan

Peguam Negara tak profesional langgar prosiding mahkamah: Isma

BANGI, 14 Zulkaedah 1440H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyokong tindakan keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk membawa Tommy Thomas ke muka pengadilan, berikutan tindakan Peguam Negara yang jelas sekali tidak profesional apabila melanggar prosiding mahkamah.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kes Adib adalah berprofil tinggi dan menjadi isu nasional, maka, Tommy Thomas tidak berhak untuk campur tangan.

Katanya, Thommy patut sedar tindakan beliau memberi kesan kepada keputusan inkues dan menghalang keadilan yang sepatutnya ditegakkan buat Allahyarham dan pihak keluarga.

“Maka, kita sokong keluarga Adib. Ini memberi petunjuk bahawa terdapat ketidakpuashatian terhadap perjalanan inkues yang dilihat telah diganggu oleh Peguam Negara.

“Moga dengan usaha bapa Allahyarham Adib ini dapat memberikan impak dalam mencapai keadilan, seterusnya mengheret semua pesalah yang terlibat mahupun yang berkomplot,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mohd Kassim Abdul Hamid telah memfailkan memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) terhadap Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital (hina mahkamah) berhubung kes inkuiri anaknya.

Peguam, Mohd Zubir Embong yang mewakili keluarga Muhammad Adib menjelaskan ia berhubung afidavit yang dikemukakan oleh Peguam Negara yang mengatakan kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul.

“Inkues nak cari sebab tapi dia (Peguam Negara) dah bagi sebab terlebih dahulu sebelum keputusan Mahkamah Koroner dan perkara satu penghinaan terhadap mahkamah,” katanya.

Zubir memberitahu, Tommy juga didakwa telah campur tangan salah dalam pelaksanaan keadilan (‘unlawful interference in the cause of justice’).

Ekoran campur tangan salah itu, Tommy didakwa telah menyebabkan prosiding inkues kematian Muhammad Adib tertangguh, sekaligus melengahkan keadilan daripada dicapai.

Mohd Kassim juga mendakwa Tommy menindas peguam Syazlin Mansor daripada melakukan tugasannya sebagai Peguambela dan Peguamcara dan pegawai Mahkamah yang sah mewakili kepentingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JPBM dan keluarga Muhammad Adib.

Muhammad Adib,24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close