Berita UtamaUtama

PPSMI: KPM kaji, teliti pandangan menyeluruh masyarakat

Semua keputusan kelak ikut keperluan, kepentingan murid: Maszlee

BANGI, 14 Zulkaedah 1440H, Rabu – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan murid, supaya mampu membentuk generasi kalis masa depan.

Menterinya, Maszlee Malik berkata, KPM menyambut baik saranan Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat semalam, berhubung isu pengajaran dan pembelajaran Sains serta Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri semalam, perdana menteri memberitahu Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan dasar PPSMI sedang dikaji dengan menyediakan sistem baharu membabitkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Dr Mahathir berkata, melalui sistem itu, pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah, supaya kecekapan guru itu dapat dinikmati semua murid dan pelajar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maszlee berkata, KPM sememangnya sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung perkara berkenaan dengan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat, termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.

“Saya juga ingin menegaskan, semua keputusan yang akan diambil kelak adalah berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan anak-anak Malaysia keseluruhannya,” katanya.

PPSMI pernah dilaksanakan pada tahun 2003 dan terbukti gagal. Berdasarkan kajian antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), pencapaian pelajar sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan matematik merosot dengan mendadak apabila sistem berkenaan dilaksanakan.

Malah, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pernah menyarankan agar subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close