Berita UtamaDuniaUtama

Korban hujan monsun di 4 negara meningkat 200 orang

Jutaan penduduk Nepal, India, Pakistan dan Bangladesh terjejas

NEW DELHI, 14 Zulkaedah 1440H, Rabu – Angka korban akibat hujan monsun di empat negara Asia Selatan terus meningkat kepada 200 orang, berbanding 100 mangsa sebelum ini.

Jumlah terkini itu direkodkan ketika pihak berkuasa tempatan meneruskan usaha memindah dan menyelamat mangsa yang terkandas selepas beberapa kawasan terputus hubungan akibat banjir buruk.

Jutaan penduduk di Nepal, India, Pakistan dan Bangladesh terjejas dengan ratusan ribu daripada mereka hilang tempat tinggal sejak bencana berkenaan dua minggu lalu.

Di India, angka kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 120 orang hari ini, dengan beberapa kawasan terjejas teruk apabila jalan raya rosak dan ditenggelami air.

“Sudah 15 hari kawasan ini dinaiki air,” kata pendudukan tempatan di negeri Assam, yang kini merekodkan 22 kematian akibat bencana itu.

Turut terjejas teruk seperti di Assam, Bihar – sempadan Nepal – juga berdepan keadaan kritikal apabila penduduk di wilayah berkenaan hampir terputus bekalan makanan.

Difahamkan, 33 kematian direkodkan setakat ini dan 2.5 juta penduduk terjejas.

Sementara di Mumbai, jumlah mangsa korban runtuhan bangunan akibat hujan lebat meningkat sekurang-kurangnya kepada 13 orang.

Turut berdepan nasib sama, membabitkan pelarian etnik minoriti Rohingya di kem perlindungan Cox’s Bazar di sempadan Bangladesh.

Di Nepal, sekurang-kurangnya 78 orang maut dan 16,000 penduduk terpaksa dipindahkan berikutan banjir buruk dan tanah runtuh yang melanda wilayah itu.

Agensi bantuan ‘Save The Children’ berkata, banjir dan tanah runtuh menyebabkan puluhan ribu orang hilang tempat tinggal dan terkandas.

Hujan monsun yang berlaku bermula Jun hingga September menyebabkan kematian dan kemusnahan meluas di seluruh Asia Selatan setiap tahun.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close