Berita UtamaUtama

KKM pantau kes JE di Sabah

15 kes, termasuk tiga kematian direkodkan setakat 13 Julai

BANGI, 14 Zulkaedah 1440H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) memantau rapi situasi kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) di Malaysia, termasuk Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh Januari sehingga 13 Julai lalu, sejumlah 15 kes JE dilaporkan di negara ini, membabitkan tiga kematian dengan dua di Sarawak dan satu di Perak.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat kes direkodkan di negeri Sabah iaitu masing-masing satu kes di daerah Manggatal, Ranau, Papar dan Tambunan.

Bagaimanapun, katanya, tiada tren peningkatan kes dikesan di Sabah bagi tempoh yang sama pada tahun 2018, sebanyak lima kes JE dilaporkan di negeri berkenaan.

“Seperti yang dinyatakan oleh The Star Online, kes terbaru di daerah Tambunan dilaporkan pada 12 Julai 2019 melibatkan seorang lelaki dewasa berumur 20 tahun. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Keningau pada 8 Julai 2019 dan kini masih menerima rawatan di wad perubatan hospital terbabit.

“Manakala kes JE yang dinyatakan oleh FMT melibatkan kanak-kanak berumur tujuh (7) tahun dari Taman Sentoria, Kota Samarahan Sarawak merupakan kes yang dilaporkan pada tahun 2017 dan disahkan bukan kes JE,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, JE adalah sejenis penyakit bawaan vektor disebabkan oleh flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’, di mana virus itu ditemui dalam khinzir serta burung liar dan tersebar melalui gigitan nyamuk Culex.

“Tanda-tanda dan gejala JE adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan. Bagi individu yang mengalami tanda-tanda tersebut perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera.

“Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko gigitan nyamuk,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close