Uncategorized

Khalid menang saman, Naser Disa diperintah bayar RM80,000

Mahkamah putuskan kenyataan Menteri WP tak menentang RUU 355

KUALA LUMPUR, 14 Zulkaedah 1440H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan Profesor Datuk Mahamad Naser Disa membayar ganti rugi berjumlah RM80,000 kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, yang memenangi saman fitnah difailkannya terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) itu.

Saman berkenaan berhubung isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail membuat keputusan itu, selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Khalid terhadap Mahamad Naser selaku defendan tunggal dalam saman tersebut.

Rohani dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tiada keterangan yang menunjukkan Khalid mengeluarkan kenyataan yang menentang RUU 355.

“Kenyataan defendan (Mahamad Naser) yang menggambarkan plaintif (Khalid) menentang RUU 355 adalah tidak benar dan menjatuhkan reputasi plaintif.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan tuntutan saman plaintif dan memerintahkan defendan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM80,000 dan kos RM20,000 kepada plaintif, ” katanya.

Rohani turut memerintahkan Mahamad Naser mengemukakan permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu, yang diterbitkan dalam akhbar tempatan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini, serta injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu sama.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan daripada dua saksi iaitu plaintif dan defendan sendiri.

Pada 30 Mei 2018, Mahkamah Tinggi di sini, menolak permohonan Mahamad Naser untuk membatalkan saman Khalid, selepas mendapati ada isu yang perlu dibicarakan dalam kes saman berkenaan.

Mahamad Naser memohon untuk membatalkan saman berkenaan pada 30 Januari 2018, atas alasan saman itu menyalah guna proses mahkamah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan kerana dijadikan platform bagi meraih ‘political mileage’ (janji atau gimik politik) berhubung isu RUU 355.

Pada Disember 2017, Khalid menyaman Mahamad Naser selepas mendakwa defendan telah menyentuh isu RUU 355 dalam satu seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kira-kira 9.50 pagi, 28 September 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Khalid mendakwa Mahamad Naser di dalam ceramah bertajuk `Wacana isu semasa dan perundangan peringkat negeri Selangor: Doktrin: Cabaran dan Perlembagaan’, telah membuat pernyataan, antaranya menggambarkan plaintif menentang sekeras-kerasnya RUU 355, menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hudud dan menentang usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
Plaintif mendakwa pernyataan itu dibuat dengan berniat jahat sehingga menyebabkan reputasinya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam tercemar.

Khalid menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan selain menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf.

Sementara itu, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, yang mewakili Mahamad Naser ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini secepat mungkin.

Khalid diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil dan Mohd Faizal Abdullah. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close