Berita Utama

Provokasi di Gaza gagal, rejim Zionis sasar pula Masjidil Aqsa

Aman Palestin hulur bantuan sejak awal peperangan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

GAZA, 11 Muharam 1444H, Selasa – Objektif serangan ganas rejim haram Israel terhadap Gaza dianggap sebagai provokasi berterusan kepada rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Cawangan Gaza, Ir Omar Seyam berkata, secara mentalnya apabila berlaku peperangan, pencabulan dan pencerobohan, individu normal tidak akan mampu bertahan.

Bagaimanapun ia dikatakan berbeza apabila penduduk Gaza tidak termakan dengan provokasi itu.

“Dalam gencatan senjata, Jihad Islam menunggu jawapan daripada Israel dan tidak mahu berlakunya peperangan tetapi Israel sendiri yang melaksanakan peperangan tersebut.

“Jadi memang ternyata dan jelas sebenarnya objektif mereka (Israel) untuk melaksanakan provokasi terhadap orang Islam itu sendiri.

“Sekarang ini (malam tadi) mereka sedang terbangkan dron di Gaza. Apa yang boleh kita katakan objektif mereka gagal untuk provokasi Palestin khususnya di Gaza dan buktinya mereka telah pergi ke Masjidil Aqsa untuk melakukan provokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif secara siasan langsung dengan Pengurus Jabatan Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Ismail Muhammad Juffri.

Omar Seyam berkata, provokasi di Masjidil Aqsa juga tidak berjaya seperti mana Israel gagal pada serangan Ramadan tahun lalu.

Sementara menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai bantuan kecemasan dihulurkan selepas berlakunya perang, beliau berkata, Aman Palestin telah memberikan bantuan sejak awal berlakunya peperangan.

Antaranya memberi makanan, membaiki rumah, membantu bayaran sewa dan rawatan perubatan yang diperlukan oleh mangsa peperangan.

Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat Malaysia membantu saudara di Gaza kerana mereka sangat memerlukan ketika ini.

“Antara yang diperlukan adalah keperluan perubatan kerana tidak mencukupi dan ambulans berikutan ratusan mangsa cedera setiap hari,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button