Berita UtamaUtama

RUU turun had umur mengundi lulus, 211 Ahli Parlimen sokong

Warganegara umur 18 tahun didaftar secara automatik sebagai pemilih

BANGI, 13 Zulkaedah 1440H, Selasa – Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, diluluskan dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan, seramai 211 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala tiada yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

Kelulusan RUU ini mencatat sejarah apabila meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.

RUU yang mempunyai empat fasal itu antara lain bertujuan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur warganegara dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat, daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan lain membabitkan perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 peruntukan sama untuk menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia diberikan hak dalam mencorak kepemimpinan negara.

Selain itu, RUU berkenaan mengemukakan cadangan pindaan takrif ‘tarikh kelayakan’ dalam perenggan (b) Fasal 4 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan maksud tarikh seseorang didaftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Menerusi pindaan itu, seorang warganegara yang mencapai umur 18 tahun dan layak mengundi akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Pindaan itu turut membabitkan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan syarat kelayakan umur seseorang warganegara menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 kepada 18 tahun.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close