Berita UtamaDuniaUtama

Hujan monsun bunuh 100 orang

Keadaan makin buruk, 4.3 juta penduduk di India dipaksa pindah

NEW DELHI, 13 Zulkaedah 1440H, Selasa – Lebih 100 maut dan berjuta-juta yang lain dipaksa berpindah berikutan hujan lebat dan cuaca buruk yang melanda beberapa bahagian Asia Selatan, membabitkan Nepal, India, Pakistan dan Bangladesh.

Jumlah kematian tertinggi direkodkan di Nepal, berikutan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan tanah runtuh serta air sungai melimpah sehingga mengorbankan 67 nyawa dan 30 yang lain hilang, kata pegawai.

Banjir yang melanda negara itu sejak Khamis lalu, menjejaskan satu pertiga daripada semua daerah dan memaksa sekurang-kurangnya 10,000 berpindah.

Walaupun hujan lebat semakin reda, pihak berkuasa masih bimbang angka kematian meningkat, kata jurucakap polis, Bishwaraj Pokharel.

“Banyak cabaran untuk menempatkan semula mangsa berikutan rumah mereka yang terjejas banjir. Kita juga berwaspada terhadap risiko wabak akibat air tercemar,” katanya.

Hujan monsun yang berlaku bermula Jun hingga September menyebabkan kematian dan kemusnahan meluas di seluruh Asia Selatan setiap tahun.

Di India, sebuah bangunan empat tingkat di lereng bukit utara Himachal Pradesh runtuh akibat hujan lebat, sehingga membunuh sekurang-kurang 14 orang, termasuk 13 anggota tentera.

Banjir teruk juga menjejaskan banyak kawasan di negeri timur laut Assam, di mana 4.3 juta dipaksa pindah dari rumah mereka dalam tempoh 10 hari, menurut kenyataan kerajaan semalam.

“Keadaan banjir semakin kritikal dengan 31 daripada 32 kawasan terjejas. Kita berusaha menangani masalah ini,” kata Ketua Menteri Assam, Sarbananda Sonowal.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close