Berita UtamaUtama

PH ‘kangaroo’ jika tak ambil tindakan terhadap Guan Eng

Pembohongan Menteri Kewangan buat rakyat ragu, kata Najib

BANGI, 12 Zulkaedah 1440, Isnin – Kerajaan PH layak digelar sebagai sebuah kerajaan ‘kangaroo’ atau kerajaan yang gagal dan tidak mematuhi prinsip ‘rule of law’, jika Parlimen tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Lim Guan Eng yang jelas terbukti memfitnah dan berbohong di Dewan Rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, jika Guan Eng terlepas daripada tindakan setelah membuat pembohongan dahsyat itu, maka rakyat akan mempunyai keraguan untuk semua jawapan yang diberi oleh mana-mana menteri PH dalam Parlimen.

“Kita tengok kerajaan PH ini mengamalkan ‘Rule of Law’ atau ‘Rule of Guan Eng’,” kata Najib menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada 7 Ogos tahun lalu bahawa tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu,

Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat.

Guan Eng sekali lagi membangkitkannya di Dewan Rakyat pada keesokan harinya dan dilaporkan berkata, audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati RM18 bilion ‘hilang’ daripada tabung bayaran balik GST.

Bagaimanapun, hari ini Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan tidak berlakunya kehilangan wang RM19.4 bilion hasil kutipan GST.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ia dirumuskan selepas pihaknya meneliti keterangan 10 saksi dan taklimat Ketua Audit Negara serta pandangan Peguam Negara menerusi prosiding yang dimulakan 12 September lalu.

Beliau berkata, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST digunakan untuk tujuan pembiayaan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.

Serentak itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO akan memulakan usul untuk merujuk Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat berkaitan isu wang GST.

Beliau berkata, keputusan PAC membuktikan bahawa Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berbohong dan mengelirukan Dewan Rakyat.

“Perkara ini arus disegerakan dan tidak boleh ditangguh, jika tangguh mesyuarat akan datang bulan Oktober, jadi perlu disegerakan. Perkara ini serius kerana ia membabitkan integriti kerajaan yang lepas. Menuduh sebagai perompak adalah tuduhan sangat serius dan tidak boleh dimaafkan,” tegas beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close