Berita UtamaUtama

Audit: PAC panggil 7 kementerian

Jabatan Audit Negara kesan lima kes babit ketirisan RM1.764 bilion

KUALA LUMPUR, 12 Zulkaedah 1440H, Isnin – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memanggil tujuh kementerian untuk memberi keterangan berhubung isu berbangkit daripada Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, PAC akan menetapkan tarikh prosiding kelak bagi memanggil semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian terbabit.

“Saya hendak menasihati semua KSU supaya hadir ke prosiding PAC dan jika tidak dapat hadir disebabkan kekangan tugas, kita harap mereka akan hantar surat rasmi dan berikan tarikh baharu untuk hadir di hadapan PAC,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid di bangunan Parlimen.

Noraini berkata, antara isu berbangkit membabitkan program Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) di bawah Jabatan Perdana Menteri; subsidi gas petroleum cecair (LPG) di bawah Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) di bawah Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, PAC dimaklumkan bahawa 19 projek kerajaan telah diaudit dengan enam daripadanya telah tercapai, satu tidak tercapai, lapan tidak tercapai sepenuhnya manakala empat projek lagi tidak dapat diukur.

“Jabatan Audit Negara juga mengesan lima kes babitkan ketirisan berjumlah RM1.764 bilion dan enam kes dikategorikan membazir membabitkan sejumlah RM26.47 juta,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan PAC berhubung hasil siasatan tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion, Noraini menegaskan PAC hanya memberi rumusan dan cadangan sahaja.

“Kita syor sebabnya kita PAC memberi cadangan tetapi semua tindakan dibuat pihak-pihak lain, itu bukan di bawah PAC sebab itu kita buat rumusan dan syor yang di bawah PAC,” katanya.

PAC dalam laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini mendapati tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.

PAC memulakan prosiding pada 12 September tahun lepas berikutan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Ogos 2018 bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close