Berita Utama

Pulau Pinang setuju beri pengecualian tauliah kepada tokoh agamawan

Penceramah tidak boleh sentuh isu politik kepartian

BANGI, 23 Syaaban 1444H, Khamis – Pulau Pinang bersetuju memberi pengecualian tauliah khas kepada tokoh agamawan atau ulama tertentu.

Muftinya, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada 14 November tahun lalu.

“Keputusan dibuat berdasarkan Perkara 121 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada mana-mana peruntukan bahagian ini iaitu pentauliahan mengajar dan ceramah agama di Pulau Pinang),” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri memberi cadangan, supaya tokoh agama atau ulama yang dikenali dengan kealimannya diberi pengecualian tauliah mengajar oleh pihak berkuasa agama sama ada di Wilayah Persekutuan atau negeri.

Zulkifli berkata, tauliah khas itu perlu sesuai kealiman serta kedudukan tokoh itu dalam sesebuah negara atau institusi oleh raja selaku Ketua Agama Islam atau mufti negeri berkenaan, apatah lagi di luar negara.

Mengulas lanjut perkara itu, Wan Salim berkata, Kaedah 8(1) berkaitan pengajaran agama Negeri Pulau Pinang 1998 memperuntukkan bahawa seseorang itu layak diberi tauliah untuk mengajar dengan beberapa syarat tertentu.

Jelasnya, seseorang itu layak diberi tauliah untuk mengajar sekiranya berkelulusan pengajian tinggi Islam dari universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf oleh MAINPP.

“Selain itu, seseorang itu berkelulusan daripada institusi pengajian agama Islam tempatan yang diiktiraf oleh MAINPP atau berkemahiran dalam hukum syarak,” katanya.

Malah, semua pemegang tauliah mengajar agama Islam di negeri ini adalah dikehendaki mematuhi etika penyampaian yang digariskan serta memiliki akhlak yang sewajarnya.

Dalam pada itu Wan Salim menjelaskan, sebarang perilaku buruk, penyampaian yang salah serta berpolitik kepartian boleh menyebabkan tauliah mengajar agama Islam ditarik balik oleh MAINPP.

Syarat-syarat lain ialah tidak mengajar fahaman yang bertentangan dengan pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah serta tidak menyentuh kedudukan Raja-Raja.

“Penceramah juga tidak dibenarkan menyampaikan kuliah yang boleh menyinggung perasaan mana-mana individu atau kaum, agama dan budaya rakyat Malaysia serta tidak menyentuh isu politik kepartian serta perkara-perkara khilafiah iaitu yang diperselisihkan oleh para ulama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button