Berita UtamaUtama

Tujuh suspek ditahan, dadah bernilai RM200,000 dirampas

1,300 pil kuda bernilai RM13,000 turut dirampas dalam kes berlainan

KOTA BHARU, 11 Zulkaedah 1440H, Ahad – Polis menahan tujuh orang termasuk seorang wanita warga Thailand berumur antara 19 dan 33 tahun, serta merampas pelbagai pil dan serbuk disyaki dadah bernilai hampir RM200,000 dalam tiga serbuan berasingan di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah, Jumaat lalu.

Turut dirampas dalam serbuan bermula 9.30 malam hingga 11.30 malam itu ialah sebuah kereta Proton Putra dan sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, rampasan membabitkan 18,500 biji pil dipercayai pil kuda, 150 pil Eramin 5 dan 55 gram syabu, yang dipercayai untuk pasaran tempatan di negeri ini.

Katanya, dalam serbuan pertama pada jam 9.30 malam, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tanah Merah menahan sebuah Proton Putra yang dinaiki empat suspek, termasuk seorang remaja perempuan warga Thailand berumur 19 tahun di Jalan Taman Manal Jaya, Tanah Merah.

Beliau berkata, dua kenderaan pasukan yang terbabit dalam operasi itu merempuh bahagian depan dan belakang kereta Proton Putra berkenaan, sebelum keempat-empat suspek yang cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui satu beg galas mengandungi 12,000 pil kuda dengan nilai RM120,000.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati tiga suspek lelaki tempatan yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, manakala remaja perempuan berusia 19 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Bagi kes kedua, Azmi berkata, polis merampas 1,300 pil juga dipercayai pil kuda bernilai RM13,000 selepas menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan, di tepi jalan Kampung Bechah Palas, Pasir Mas, pada pukul 10.45 malam.

Katanya, dadah yang diisi dalam kotak rokok dan beg pinggang itu ditemui ketika pemeriksaan badan dilakukan terhadap suspek.

Azmi berkata, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian pula polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun bersama 5,200 pil kuda, 55 gram syabu dan 150 Eramin 5.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 yang membawa hukuman mati mandatori,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close