Berita UtamaUncategorizedUtama

‘Maya boleh jaga diri sendiri’

Status Whatsapp terakhir Nur Salsabila petanda akan pergi: Bapa

KUALA LANGAT, 11 Zulkaedah 1440H, Ahad – “Tak apa mama, Maya boleh jaga diri sendiri, lagikan kakak ada,” kata-kata yang diungkapkan Nur Ain Sumayyah Mohd Fakrul Khair, 13, yang maut dalam kebakaran di rumah mereka di Banting, di sini, awal pagi tadi kepada ibunya Seri Hayati Ngainan, 48, sebelum ibunya keluar menyediakan makanan bagi anggota bomba semalam.

Pada kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, Nur Ain Sumayyah dan kakaknya Nur Salsabila, 15, maut, akibat terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka, di Jalan Utama Kampung Endah, Banting.

Ibunya Seri Hayati dan ayahnya Mohd Fakrul Khair Baharin, 41, yang mengusahakan gerai makanan di Hentian Rehat dan Rawat Pulau Indah, terdahulu menerima tempahan menyediakan makanan anggota bomba yang terlibat dalam kerja memadam kebakaran sebuah kilang kimia, di Taman Perindustrian Pulau Indah.

“Saya berada di rumah semasa menerima tempahan pada pukul 8 malam, saya dan suami hendak pergi menghantar pesanan makanan dan sebelum keluar, saya memeluk anak bongsu saya, Maya.

“Saya peluk dia dan cakap mama mintak maaf kerana tidak dapat jaga Maya demam, mama dengan ayah kena hantar makanan kepada bomba,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Banting hari ini.

Tambah Seri Hayati, kedua-dua anak perempuannya, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut, Tanjung Sepat itu, memang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.

“Maya dan kakak dia, Nur Salsabila memang tak pernah berpisah, pergi dan balik sekolah bersama-sama, mereka menjaga antara satu sama lain,” katanya sebak.

Bagi Mohd Fakrul Khair pula status aplikasi Whatapps Nur Salsabila pada 8.46 malam tadi yang memetik ayat dari Al-Quran yang bermaksud, ‘jangan sesekali takut kerana Allah bersamamu’, ibarat petanda dia akan pergi selama-lamanya.

“Saya akan simpan ‘print skrin’ status whatapps ini sampai akhir hayat saya,” katanya sedih.

Dengan air mata yang berlinangan Mohd Fakrul Khair berkata, mungkin ketika itu, anaknya sudah dapat merasakan bahawa masa dia (Nur Salsabila) bersama saya dan ibunya di dunia ini sudah hampir tamat.

Sementara itu, bapa saudara kedua-dua mangsa, Khamijas Ngainan, 52, yang tinggal berhadapan dengan rumah mangsa berkata, beliau cuba menyelamatkan kedua-dua anak saudaranya itu, tetapi gagal kerana api terlalu marak dan struktur rumah itu yang dibina dari kayu mahu runtuh.

“Dalam pukul 2.30 pagi saya dan isteri baharu sahaja pulang selepas menamatkan operasi di restoran kami di Kanchong Darat, sebelum saya dan isteri masuk ke rumah, saya lihat tiada apa berlaku di rumah adik saya. Selepas beberapa minit masuk ke rumah, saya lihat cahaya terang dari rumah adik saya, dan api sudah marak.

“Saya berlari ke rumah itu dan cuba memanggil mereka tetapi tiada jawapan, saya masuk ikut pintu belakang tetapi tidak dapat pergi ke bilik mereka kerana api terlalu marak, ketika itu saya dengar suara meminta tolong, tetapi ia hilang perlahan-lahan,” katanya.

Tambah Khamijas beliau amat terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan kedua-dua anak saudaranya itu yang sudah dianggap sebagai anak sendiri.

Dalam kejadian berkenaan dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dan KLIA dikejarkan ke tempat kejadian.- Bernama

BERITA BERKAITAN:

VIDEO | 2 beradik rentung ketika ibu bapa bantu bomba di Klang

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close