Berita UtamaDunia

Arab Saudi antara 37 negara sokong dasar China di Xinjiang

Surat kepada PBB puji usaha Beijing tangani keganasan

GENEVA, 11 Zulkaedah 1440H, Ahad – Arab Saudi, Russia dan 35 negara lain menyatakan sokongan terhadap dasar China di rantau Xinjiang, menurut satu salinan surat yang ditulis kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jumaat lalu.

Pendirian 37 negara berkenaan ternyata bertentangan dengan 22 lagi negara yang mengkritik dasar China berhubung penahanan besar-besaran etnik minoriti muslim Uyghur dan suku kaum lain di wilayah berkenaan.

Surat mengandungi tandatangan duta 22 negara yang membuat desakan itu dihantar kepada presiden UNHRC pada 8 Julai lalu. Antara negara terbabit ialah Australia, Kanada, Jepun, serta beberapa negara Kesatuan Eropah.

Bagaimanapun, surat daripada 37 negara yang menyokong dasar China itu memuji usaha yang dilakukan Beijing dan menganggap ia sebagai pencapaian luar biasa bagi hak asasi manusia.

“Berdepan dengan cabaran keganasan dan ekstremisme, China telah melaksanakan beberapa langkah anti-keganasan dan pemberontakan di Xinjiang, termasuk menubuhkan pusat pendidikan dan latihan vokasional,” kata surat itu.

Surat berkenaan turut menyebut, keselamatan di Xinjiang kembali pulih dan hak asasi manusia rakyat merangkumi semua kumpulan etnik di wilayah itu dipelihara.

“Tiada sebarang serangan pengganas di sana selama tiga tahun dan masyarakatnya menikmati keamanan dan kesenangan lebih baik,” kata surat berkenaan.

Selain Arab Saudi dan Russia, surat itu turut ditandatangani duta dari Afrika, Korea Utara, Venezuela, Cuba, Belarus, Myanmar, Filipina, Syria, Pakistan, Oman, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Sebelum ini, pakar dan aktivis PBB mendedahkan, sekurang-kurangnya sejuta etnik Uyghur dan muslim lainnya ditahan di pusat tahanan di daerah terpencil, bahagian barat negara itu.

Beijing menyifatkan pusat tahanan berkenaan sebagai pusat latihan, kononnya bagi membantu membanteras ‘ekstremisme’ dan memberi latihan kemahiran.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close