Berita UtamaDuniaPalestinUtama

70 peratus serpihan peluru dikeluarkan dari kepala

Budak Palestin kritikal ditembak askar rejim pengganas Israel

PALESTIN, 11 Zulkaedah 1440H, Ahad – Seorang kanak-kanak lelaki Palestin terus berjuang untuk hidup, selepas menjalani pembedahan mengeluarkan 70 peratus serpihan peluru di kepalanya, akibat ditembak askar rejim pengganas Zionis di wilayah diduduki di Kafr Qaddum, Tebing Barat.

Pemerhati antarabangsa berkata, Abdul Rahman Yasser Shteiwi, 10, berada dalam kritikal dengan lebih 100 serpihan peluru berada di dalam kepalanya.

Ketua Jabatan dan Pakar Bedah Neurosurgeri di Hospital Rafidia, di Nablus, Dr Othman Othman berkata, Abdul Rahman mengalami kecederaan serius di lobus frontal (bahagian otak paling besar) di sebelah kanan.

“Ini bukan peluru getah tetapi peluru logam. Peluru getah tidak boleh tembus kerana bucunya tidak tajam, tetapi peluru logam mempunyai bucu tajam,” katanya.

Kumpulan aktivis yang berpusat di Hebron, Kempen Perpaduan Antarabangsa berkata, Abdul Rahman dikejarkan ke wad kecemasan pada jam 3 petang waktu tempatan, dan doktor yang mengendalikan pembedahannya mengambil masa selama tiga jam setengah untuk mengeluarkan peluru di kepalanya.

Sementara itu, seorang pemerhati antarabangsa British yang tidak mahu namanya disiarkan, menyifatkan keganasan rejim Zionis ketika menangani protes itu sangat tidak berperikemanusiaan dan kejam.

“Kami berlari ketika melihat rakyat Palestin berlari menuruni bukit. Kami tidak melihat (penunjuk perasaan ditembak) kejadian itu berlaku, tetapi kami dapat lihat darah di tanah dan ianya sangat mengerikan. Kami berasa bersalah kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

“Kami berada di sana sebagai pemerhati antarabangsa, jadi kami harus merakamkan kejadian itu untuk menunjukkan kekejaman rejim Zionis kepada dunia,”katanya.

Katanya, beliau kecewa dan tidak berpuas hati dengan nasib menimpa Abdul Rahman selepas melawat kanak-kanak itu petang semalam.

Beliau berkata, tiada khabar gembira setakat ini dan doktor melaporkan bahawa Abdul Rahman mengalami pendarahan dalaman.

Sementara itu, lebih 70 warga Palestin cedera akibat tembakan askar rejim Zionis ketika mengadakan tunjuk perasaan di pagar keselamatan Semenanjung Gaza-Israel, kelmarin.

Sejak Mac tahun lalu, penduduk Palestin berkumpul di sepanjang pagar keselamatan itu menuntut kepungan dan sekatan ke atas Semenanjung Gaza ditamatkan, selain mendesak mereka dibenarkan pulang ke wilayah yang diduduki secara haram oleh Israel.

Rejim pengganas Israel kerap dikritik kerana bertindak balas secara kasar ke atas penunjuk perasaan, dengan doktor menuduh askar Zionis melaksanakan tindakan untuk memberi kecederaan kekal kepada rakyat Palestin. -Agensi

BERITA BERKAITAN: https://www.ismaweb.net/2019/07/13/video-zionis-tembak-budak/

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close