ArtikelBerita UtamaUtama

Sediakan modul komprehensif pulihkan banduan najis dadah

I-Medik sambut baik usaha KDN, KKM laksanakan ‘decriminalization’

IKATAN Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyambut baik inisiatif kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk melaksanakan ‘decriminalization’ ke atas penagih dadah di mana tahanan penjara yang dikategorikan sebagai penagih dadah akan diberikan rawatan dan pemulihan ketagihan dengan kerjasama kedua-dua agensi kerajaan itu.

Melalui pendekatan sebegini, penagih dadah kini akan dianggap sebagai pesakit yang perlu dirawat dan bukannya pesalah yang perlu dihukum. ‘Decriminalisation’ bagi penagih dadah adalah penting untuk memastikan penagih yang dibebaskan daripada tahanan diberi peluang untuk kembali menjalani hidup yang normal dalam masyarakat.

Perlu difahami, banduan yang ditahan dalam waktu masa yang panjang akan mengalami kesukaran untuk bekerja disebabkan oleh stigma masyarakat, penyisihan keluarga dan kemiskinan.

Hasil daripada perbincangan antara KDN dan KKM pada 24 Jun lalu, intervensi pemulihan termasuk menyediakan program dalam komuniti dengan masyarakat, menyediakan pendekatan ‘harm reduction’ melalui terapi gantian metadon dan ‘joint management’ bagi yang mempunyai dual diagnosis oleh pusat pemulihan narkotik.

Berbeza dengan situasi semasa di mana penagih dadah akan diberi tahanan penjara sekiranya sabit kesalahan, namun tiada sistem pemulihan khusus bagi mengatasi ketagihan bagi mereka di dalam mahupun di luar penjara.

Justeru, selepas penagih dadah dibebaskan daripada penjara, ada di antara mereka kembali kepada najis dadah kerana permasalahan ketagihan yang masih belum berjaya diselesaikan ketika di dalam tempoh pemenjaraan.

Statistik terkini menunjukkan angka di mana 70,000 tahanan di penjara di seluruh Malaysia adalah penagih dadah. Sebahagian besarnya adalah penagih dadah yang berulang atau tegar.

Ketagihan adalah satu permasalahan perubatan yang kompleks yang boleh terbahagi kepada dua iaitu ketagihan fizikal dan psikologi. Mereka yang dipenjarakan akan mengalami satu tempoh masa di mana mereka tidak akan terdedah kepada dadah ketika dalam tahanan kerana ketiadaan dadah.

Ada di antara mereka akan melalui gejala ketarikan (withdrawal symptoms) atau perasaan gian buat sementara waktu kerana ketiadaan bekalan. Ini adalah hasil tindak balas ketagihan fizikal. Namun disebabkan oleh ketagihan psikologi, ataupun ‘complusive drug-seeking’, mereka akan meneruskan penagihan dadah selepas dibebaskan daripada tahanan kerana permasalahan ketagihan yang belum berjaya diselesaikan ketika di dalam penjara.

Perlu difahami bahawa masalah ketagihan adalah satu permasalahan perubatan yang kronik dan boleh berulang. Kesan jangka masa panjang dadah kepada otak menyebabkan perubahan kepada ‘reward’ sistem di dalam otak yang menyebabkan gangguan terhadap kawalan dalam tingkah laku berkaitan dengan pengambilan dadah.

Permasalahan utama membabitkan tahanan penagih dadah adalah ketiadaan sistem yang tersusun bagi pemulihan penagih dadah di luar mahupun di dalam tahanan. Tidak dinafikan usaha KKM menyediakan program ‘harm reduction’ seperti program metadon dan pertukaran jarum di luar fasiliti penjara adalah strategi yang sangat baik dalam memastikan penagih dadah diberi peluang kedua di dalam kehidupan.

Ramai di antara mereka yang mengambil terapi gantian metadon berjaya menjalankan kehidupan dengan normal.

Namun, program ini lebih kepada memberi pemulihan mereka yang terbabit dengan dadah, khususnya heroin. Bagaimanapun tiada program yang serupa bagi ketahihan jenis lain seperti mentamphetamine, ganja, ketum dan pelbagai jenis dadah sintetik yang lain.

Mereka juga mengalami masalah ketagihan kronik dan perlu dirawat. Ketiadaan sistem yang baik bagi pemulihan banduan penagih dadah menyebabkan mereka keciciran dan terlepas daripada diberi peluang untuk menambah baik kehidupan setelah bebas dari penjara.

Pelbagai inisiatif telah diwujudkan oleh banyak pihak, termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan, tetapi pendedahan terhadap program yang wujud sangatlah terhad. Kaunselor dan pegawai psikologi juga disediakan di penjara dan fasiliti kesihatan namun, tidak ramai antara mereka mempunyai kepakaran di dalam bidang ketagihan.

Sudah tiba masanya KKM menyediakan kaunselor dan pegawai psikologi yang berkemahiran tinggi di dalam pemulihan banduan, khususnya berkaitan ketagihan.

Kesimpulannya, I-Medik mengharapkan kerajaan, khususnya KDN dan KKM, dapat menyediakan modul yang komprehensif terhadap pemulihan banduan yang terbabit dengan najis dadah. Ketagihan adalah permalasahan perubatan yang memerlukan kepada rawatan perubatan dan pemulihan yang khusus. Ia tidak dapat selesaikan sekadar dengan hukuman pemenjaraan pesalah.

Namun, perlu diingatkan bahawa pengambilan dadah berbahaya (illicit drug) adalah satu kesalahan. Masyarakat juga perlu dididik supaya mengurangkan stigma terhadap mereka yang mengalami masalah ketagihan. Mereka seharusnya diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan yang normal sepertimana manusia lain.

Dr Nor Ruzaini binti Sulaiman
Unit Kawalan Ketagihan Dadah I-Medik
Dr Rozanizam Zakaria
Ahli Jawatankuasa Pusat I-Medik

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close