Berita UtamaUtama

PH kuburkan kebebasan penulisan akademik: Berjasa

Kepimpinan negara yang ada sekarang nampak terlalu nazak

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 9 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Tindakan Datuk A Kadir Jasin ‘menyekat’ kebebasan ahli akademik menulis, menerusi amaran politik jelas membuktikan Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri takut akan bayang-bayang sendiri.

Bercakap perkara itu kepada Ismaweb, Timbalan Ketua Wanita Berjasa, Asral Widad Ahmad Asnawi mendakwa, Kadir mengambil jalan mudah, bertindak dengan undang-undang ‘rimba’ mengarahkan seorang pensyarah universiti awam berhenti menulis, selepas gagal menjawab dan menangkis fakta hasil kajian yang dikemukakan.

Menempelak tindakan itu, beliau berkata, kebebasan bersuara tercatat secara jelas dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah Penasihat Media Perdana Menteri buta Perlembagaan? Lupakah mereka kepada manifesto PH sendiri untuk memberi kebebasan bersuara? Terang-terang rakyat ditipu dan janji ‘dicapati’ buat sekalian kalinya.

“Mereka ini memilih bulu dengan memberi kebebasan bersuara hanya pada mereka yang setuju dengan agenda yang memenuhi cita rasa mereka sahaja.

“Di manakah suara Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang telah menjanjikan kebebasan bersuara di universiti kepada pensyarah dan mahasiswa? Diam seribu bahasa bertindak seperti bacul dan pengecut,” tempelak Asral Widad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Kadir Jasin membidas tulisan Pensyarah Program Sains Politik UKM, Abdul Muein Abadi, yang mengkritik keras kerajaan PH kerana menjual harta negara.

Terdahulu, Kadir Jasin menuduh Abdul Muein yang memuat naik status di laman Facebooknya, minggu lalu, menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH.

Wartawan veteran itu turut meminta Menteri Pendidikan memberi penjelasan dan pencerahan kononnya takut-takut menjadi mangsa mainan kayu tiga oleh “the deep state”.

Susulan menerima ugutan berhubung artikel bertajuk ‘400 Hari Pakatan Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara’, Abdul Muein mengesahkan beliau diarah supaya tidak lagi menulis mengenai sebarang isu politik yang sensitif.

Pada masa sama, beliau turut menafikan tuduhan Kadir Jasin bahawa tiada konspirasi ‘deep state’ dalam penulisannya, sebaliknya ia ditulis berdasarkan laporan rasmi dan berkredibiliti.

Susulan itu, Hajah Asral meminta rakyat yang cintakan kepada kebebasan akademik agar bersolidariti bersama Abdul Muein serta semua ahli akademik yang memberi pandangan ‘without fear or favor’ atas amanah disiplin ilmu.

“Sedarlah rakyat, sungguh nazak kepimpinan negara kita pada hari ini. Kebebasan bersuara melalui kajian akademik kini betul-betul telah dikuburkan oleh kerajaan PH,” kata beliau

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close