Berita UtamaUtama

Pemandu e-panggilan tiada lesen PSV boleh dihukum penjara

Tindakan diambil jika kenderaan ada masalah teknikal, tak letak pelekat

BANGI, 9 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu e-panggilan yang tidak mempunyai lesen perkhidmatan awam (PSV), kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Beliau berkata, pemandu e-panggilan yang beroperasi tanpa lesen PSV melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pesalah boleh didenda tidak lebih daripada RM2,000 atau dipenjara tidak lebih daripada enam bulan setelah disabitkan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan juga akan diambil terhadap pemandu yang gagal memaparkan pelekat e-panggilan, serta kenderaan yang mempunyai masalah teknikal, lapor NST.

Katanya, kegagalan memaparkan pelekat itu adalah kesalahan mengikut Peraturan Kenderaan Awam (Pelesenan dan Kelakuan Pemandu, Pengawal dan Penumpang) 1959, sambil memaklumkan bahawa pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.

Semalam, dilaporkan bahawa hanya 10 peratus pemandu Grab yang aktif telah memperolehi lesen itu.

November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa pemandu e-panggilan perlu untuk mendapatkan lesen PSV bermula Januari.

Beliau berkata, pemandu akan diberikan tempoh sehingga 12 Julai untuk mendapatkan lesen mereka, termasuk mengambil kursus PSV.

Dilaporkan bahawa pemandu e-panggilan perlu membayar sehingga RM800 untuk mendapatkan lesen dan dokumen lain yang diperlukan.

Kos berkenaan adalah termasuk RM200 untuk ujian lesen, RM300 hingga RM400 untuk caj insurans tahunan bagi kenderaan PSV dan yuran pembaharuan lesen PSV sebanyak RM20.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close