Berita UtamaIstimewaUtama

Kes Wan Ji: Ada ‘tangan-tangan’ campur urusan mahkamah?

Mungkinkah penangguhan hukuman berkait perbincangan Dr M, Anwar

BANGI, 9 Zulkaedah 1440H, Jumaat – “Kerajaan selalu sebut ratib ‘Rule of Law’ tetapi ini sudah jadi ‘rule’ apa? Macam ada ‘tangan-tangan’ yang mencampuri urusan mahkamah,” kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Hj Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menangguhkan hukuman penjara selama setahun terhadap aktivis Islam liberal, Wan Ji Wan Hussin atas kesalahan menghasut dan menghina Sultan Selangor.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hukuman terhadap Wan Ji sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran, sekali gus berjanji untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Haji Aminuddin yang Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mempersoal sama ada penangguhan hukuman ini berkait dengan Anwar Ibrahim.

“Mungkinkah ini hasil ‘perbincangan’ antara Tun Mahathir dan Anwar seperti yang dilaporkan tempoh hari?

“Kita tidak pasti apa yang telah berlaku tetapi perkembangan ini agak membimbangkan. Saya tak menolak kemungkinan, silap-silap nanti beliau akan terus diampunkan saja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira dan meneliti beberapa alasan yang dikemukakan dua peguam mewakili Wan Ji iaitu Mohd Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.

Penangguhan pelaksanaan hukuman itu berkuat kuasa hari ini sehingga proses rayuan bagi kes berkenaan di Mahkamah Rayuan selesai.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam pada 10 pagi, 5 November 2012.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close