Pendapat

Jangan jadikan Islam sebagai alasan buat kerosakan

Idea hapus sistem monarki berpunca daripada kejumudan pemikiran

ANTARA hujah yang dikemukakan oleh Wan Ji adalah sistem monarki tidak ada dalam Islam. Beliau mempergunakan hadis bahawa pelantikan seseorang untuk mengisi sesuatu jawatan mestilah berasaskan kelayakan dan bukan keturunan. Sekali lagi hujah agama digunakan untuk sesuatu kebatilan (kalimatu haqq urida biha al-batil).

Doktrin yang menolak sistem monarki ini berbahaya khususnya apabila hujah agama dipergunakan untuk mendukung idea yang batil. Sebenarnya dalam Islam tidak ada bentuk pemerintahan tertentu yang dicanangkan, yang ada hanya prinsip pemerintahan seperti Shura, Keadilan, Kedaulatan Shari’ah, ‘Pertanggungjawaban’ (Muhasabah), dan lain-lain.

Dalam sejarah baik sebelum mahupun setelah kedatangan Islam kita memiliki sistem monarki, Kerajaan Nabi Sulaiman, Daud, adalah sistem monarki. Khilafah Umawiyyah, Abbasiyyah, Uthmaniyyah adalah monarki, bahkan Kesultanan Acheh Darussalam, Cirebon, Riau Lingga, adalah sistem monarki. Para ulama sejak zaman Imam Abu Hanifah, Abu Yusuf, Malik, Shafi’i, al-Ghazali sehinggalah al-Raniri, Raja Ali Haji semua mereka bersepakat tidak ada salahnya sistem monarki ini asalkan prinsip-prinsip pemerintahan Islam dilaksanakan.

Imam al-Mawardi sebagai contoh menjadikan institusi Ahl al-Hall wa al-‘Aqd sebagai mekanisme untuk melaksanakan prinsip Shura dalam kerajaan. Hal yang sama dibuat oleh Raja Ali Haji di Kerajaan Riau Lingga yang juga mempengaruhi perlembagaan Kerajaan Johor sejak tahun 1889 dan Kerajaan Terengganu tahun 1912.

Maka jelaslah bahawa idea menghapuskan sistem monarki adalah idea yang batil dan berbahaya apa lagi jika hujah agama dipergunakan, kerana bukan sahaja orang dan kumpulan yang akan dipandang serong bahkan agama juga ikut terpalit sama. Demikian juga apabila kelompok terrorrist mempergunakan ayat-ayat al-Quran untuk menjustifikasikan pembunuhan orang-orang awam, imej Islam menjadi buruk dan dibenci.

Idea menghapuskan sistem monarki ini juga berpunca daripada kejumudan pemikiran segolongan orang Islam yang disebut sebagai Pseudo-Salafi atau Wahhabi, kerana mereka tidak menerima apa-apa hujah melainkan hujah tekstual, mereka tidak menerima hukum adat dan hukum akal. Bagi mereka tidak ada ayat dan hadis yang membenarkan sistem monarki.

Sedangkan dalam soal pemerintahan ini hukum adat dan akal menjadi sandaran yang kuat yang dibenarkan dalam Shari’ah Islam, sebab itu ada kaedah fiqh yang menyebut bahawa dasar-dasar pemerintah terhadap rakyat diikat dengan maslahah, dan maslahah diketahui dengan merenungkan nilai-nilai yang baik yang diinginkan oleh Islam untuk umat manusia. proses perenungan ini dinamakan dengan ijtihad yang menggunakan fakulti akal. Apabila Islam dihadkan pada teks maka Islam akan kelihatan rigid, kaku, keras dan ketinggalan zaman.

Kezaliman adalah apabila orang lain berbuat benar kamu salahkan dan apabila orang kamu berbuat salah kamu benarkan.

Dr Khalif Muammar

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Facebook penulis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close