Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Israel sekat visa ahli akademik

7 pensyarah terpaksa tinggalkan Palestin kerana visa tidak diperbaharui

GAZA, 9 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Israel menyekat visa ahli-ahli akademik yang berusaha mencari kerja di universiti terkemuka di Palestin, dedah dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kedua-dua NGO itu – Pusat Undang-Undang Hak Minoriti Arab di Israel, lebih dikenali sebagai Adalah dan Al-Haq – menegaskan bahawa Israel secara kerap menyekat visa ahli akademik antarabangsa yang mencari kerja di universiti Palestin.

NGO itu menyatakan, berdasarkan kajian pada tahun 2018 oleh Kementerian Pelajaran Palestin, didapati bahawa separuh daripada pensyarah antarabangsa di universiti Palestin – 32 daripada 64 – telah dikenakan sekatan visa.

Satu universiti yang terjejas ialah Birzeit, sebuah institusi terkemuka yang terletak berhampiran Ramallah, di Tebing Barat yang diduduki.  

Ahli Gabungan Birzeit, Konservatori Kebangsaan Muzik Edward Said, memberitahu bahawa peningkatan sekatan visa dilaporkan berlaku sebanyak 200 peratus sepanjang dua tahun tempoh pengajian.

Selain itu, tujuh pensyarah antarabangsa yang bekerja di Birzeit terpaksa meninggalkan negara itu kerana visa mereka tidak diperbaharui, sementara dua lagi kakitangan tidak dibenarkan bertugas lagi. 

Timbalan Ketua Pengarah Adalah, Sawsan Zaher, berkata, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza – sama seperti semua orang lain di seluruh dunia – berhak mengamalkan kebebasan akademik. 

“Tetapi rejim Israel biadab, menghalang sesiapa sahaja rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka,” katanya. 

Adalah dan Al-Haq telah beralih kepada media setelah menulis surat kepada Unit Kementerian Pertahanan Israel, COGAT, yang memantau perkara sivil di wilayah Palestin, dengan meminta supaya amalan ini dihentikan. 

Bagaimanapun, badan-badan ini tidak bertindak balas terhadap permintaan NGO.

Israel dilaporkan secara kerap mengganggu serta menceroboh universiti Palestin di seluruh Tebing Barat.  

Awal bulan ini, tentera Israel menangkap tujuh pelajar di Birzeit, termasuk bekas ketua majlis pelajar, Usama Fakhouri.  

Fakhouri adalah anak lelaki penulis dan wartawan Palestin, Lama Khater, yang juga telah ditangkap, dipenjarakan dan dilaporkan diseksa oleh pengganas Israel.

Tentera Zionis juga dilaporkan kerap menyerbu rumah pelajar di kawasan Ramallah. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close