Berita UtamaUtama

Zakir Naik tiada dalam senarai merah Interpol, kata Muhyiddin

Negara berhak tak ikut permintaan India ekstradisi pendakwah terkenal

KUALA LUMPUR, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik tiada dalam senarai merah Interpol sebagai individu dikehendaki.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil semakan kementerian itu juga mendapati nama Zakir tidak tersenarai sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam jawapan bertulis kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian), Muhyiddin berkata, Malaysia ada hak tidak memenuhi permintaan India untuk mengekstradisi Zakir kerana menyifatkan ia bersifat politik.

“Beliau memasuki dan keluar dari Malaysia melalui saluran yang sah dari segi undang-undang.

“Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan, Malaysia berhak mempertimbangkan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi tersebut seperti dinyatakan Artikel 6 Perenggan (1)(a) Artikel 6 Triti Ekstradisi tanpa menyatakan keperluan sebab penolakan permintaan ekstradisi tersebut,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Muhyiddin berkata, terdapat peruntukan untuk tidak meneruskan proses ekstradisi dengan mengambil kira keadaan demi kepentingan keadilan.

Katanya, ia dibimbangi jika individu dikehendaki itu tidak akan mendapat keadilan sekiranya dihantar pulang atau terdapat penindasan mahu pun ancaman nyawa terhadapnya.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membandingkan status Zakir dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar, yang disabit atas kesalahan bunuh.

Sebelum ini, Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dilaporkan dalam usaha mendapat waran tangkap antarabangsa terhadap Zakir yang kini tinggal di Malaysia.

Beliau dikehendaki pihak berkuasa untuk menjalani perbicaraan yang sedang berlangsung di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002 negara itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close