Berita UtamaUtama

Sudah ok, tak perlu kaji lantikan transgender dalam CCM

Menteri Kesihatan kata pelantikan Rania Zara dibuat cermat, ikut SOP

BANGI, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiada keperluan untuk mengkaji semula pelantikan transgender, Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Mekanisma Penyelarasan Negara (CCM).

Ini kerana, katanya, amalan lantikan itu berlaku sejak pentadbiran terdahulu dan ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Kita tidak perlu buat apa-apa kajian, kerana yang pastinya cara itu datang daripada kelompok transgender dan itu adalah amalan lantikan sejak berzaman daripada pentadbiran terdahulu.

“Saya difahamkan, segalanya dalam peraturan dan ia mengikut SOP, ia satu peraturan yang sangat baik, melalui proses yang sangat cermat dan teliti, jadi tidak ada apa-apa isu kerana segalanya mengikut peraturan,” katanya.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan terdapatnya kajian semula terhadap lantikan Rania Zara selepas bantahan beberapa pihak tertentu.

Rania – seorang lelaki berpenampilan wanita – pemenang ikon Transwomen Malaysia 2017/2018 akan mewakili Malaysia sebagai ahli CCM untuk mendapatkan dana daripada GlobalFund iaitu sebuah badan kewangan antarabangsa yang komited melaburkan dana untuk menghentikan epidemik HIV, AIDS, Tuberkulosis dan Malaria.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, sebagai kerajaan yang terbuka, semua orang boleh memberi cadangan dan kita akan mempertimbangkan.

“Tetapi untuk hari ini apa yang saya katakan lantikan itu dibuat dengan cara yang begitu teliti dan mematuhi peraturan serta mengikut SOP,” katanya.

KKM mengesahkan melantik Rania sebagai ahli CCM melalui surat rasmi bertarikh 25 Jun.

Surat pelantikan yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye itu telah dikongsikan Rania dalam laman Facebook miliknya, sekali gus mendapat kritikan pelbagai pihak.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close