Berita UtamaIstimewaUtama

Rule of law PH hanya alat untuk lindung orang mereka: Isma

Anwar nak jumpa Tun M bincang hukuman penjara terhadap Wan Ji

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai hukuman setahun penjara yang dijatuhkan ke atas aktivis Islam liberal, Wan Ji Wan Hussin, menonjolkan sikap buruk pimpinan parti itu dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang mencabuli konsep pemisahan kuasa.

Semalam, Anwar dilaporkan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun yang dikenakan terhadap Wan Ji, mengikut Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan hukuman berkenaan sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.

Menyelar sikap pemimpin parti kerajaan PH, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, tindakan Anwar itu juga secara tidak langsung menunjukkan pembohongan PH, yang kononnya, patuh kepada ‘rule of law’.

“Mereka bertindak masuk campur urusan kehakiman untuk puak PKR dan PH sahaja.

“Jika hukuman itu dikenakan ke atas orang lain, mereka tidak bersegera untuk membela. Tetapi, oleh kerana Wan Ji adalah orang PKR yang buat salah, undang-undang dan hakim dianggap tak betul dan jumud,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap yang ditonjolkan PH jelas tidak selari dengan pendirian kerajaan yang kononnya menekankan kakitangan awam supaya menjalankan tugas mengikut undang-undang.

“Sikap PKR ini sama saja dengan rakan komponennya DAP. Mereka nak jadikan instrumen kehakiman, penguatkuasaan sebagai alat untuk melindungi orang mereka, bukan menjaga kepentingan awam,” katanya.

Wan Ji, 37, ditahan di Penjara Kajang, sejak semalam selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Bekas Penasihat agama, Lim Guan Eng itu terpaksa meringkuk di penjara selepas Hakim Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close