Berita UtamaUtama

Hentikan solidariti Wan Ji, ini bukan undang-undang rimba

Pemimpin PH seperti mahu campur bidang kuasa kehakiman

BANGI, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menggesa agar menghentikan sebarang bentuk solidariti terhadap aktivis Islam liberal, Wan Ji Wan Hussin yang disabitkan hukuman penjara atas kesalahan menghina Sultan Selangor.

Ketua Pemudanya, Nurul Amin Hamid berkata, tindakan solidariti tidak mencerminkan penghayatan dan kepatuhan terhadap Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan kedaulatan undang-undang.

Katanya, masyarakat juga menjadi keliru untuk memahami matlamat sebenar bahawa hukuman yang dijatuhkan mahkamah adalah bagi memelihara institusi Diraja.

“Apa yang lebih mendukacitakan, solidariti ini datang daripada kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tonggak kerajaan memerintah, seolah-oleh kerajaan hendak memusnahkan institusi DiRaja yang sepatutnya dipelihara.

“Kesan solidariti ini menunjukkan penghinaaan kepada institusi kehakiman dan diburukkan lagi dengan kenyataan pimpinan utama parti kerajaan, yang dilihat mahu mencampuri bidang kuasa kehakiman.

“Keadaan ini mencerminkan undang-undang rimba cuba diamalkan sesetengah pimpinan kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Amin mengulas tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun yang dikenakan terhadap Wan Ji, mengikut Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan hukuman berkenaan sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.

Wan Ji, 37, ditahan di Penjara Kajang, sejak semalam selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Bekas Penasihat agama, Lim Guan Eng itu terpaksa meringkuk di penjara selepas Hakim Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Mengulas lanjut, Amin turut menyifatkan tindakan bersolidariti terhadap Wan Ji sebagai tidak beretika, subjudis dan perlu dihentikan segera oleh semua pihak bagi memelihara institusi DiRaja.

“Sewajarnya semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah dan berusaha agar perilaku penghinaan terhadap Sultan perlu dihindari pada masa akan datang,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close