Berita Utama

Isu tanah rizab: PEMBELA tak teragak hantar memorandum ke Istana Perak

MB Perak masih ‘bertatih’ selesai isu dakwaan tukar hak milik tanah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) tidak akan teragak-agak untuk menghantar memorandum ke Istana Perak berhubung dakwaan penyelewengan Tanah Rizab Melayu di negeri itu.

Naib Pengerusinya, Mohd Nor Izzat Johari berkata, ini kerana masyarakat dapat melihat dengan jelas bahawa tiada kesungguhan dari pihak Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam mengendalikan isu tersebut.

“PEMBELA tidak ragu-ragu untuk bertindak menghantar memorandum kepada Sultan Perak jika MB Perak masih ‘bertatih’ untuk menyelesaikan isu pencerobohan tanah ini.

“Saya percaya, masih banyak tanah yang diceroboh di negeri Perak, yang masih belum didedahkan. Segera siasat dan jangan sampai terdedah dengan sendirinya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini,

Sebelum ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak mendedahkan kawasan seluas 649.19 hektar tanah berstatus Tanah Rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Manjung diberikan hak milikan kepada bukan Melayu.

Pengerusi Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu dikesan melalui pencarian rasmi yang dibuat di PTG Perak.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan isu tersebut oleh media, Saarani menolak untuk menjawab dan meminta PTG untuk menjawab dakwaan demikian.

Beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana mahu memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Justeru, Mohd Izzat menggesa supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah campur tangan dalam isu ini untuk memastikan tiada Tanah Rizab Melayu yang tergadai

“PEMBELA juga menyokong jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dan mendedahkan syarikat atau individu yang terlibat dengan pencerobohan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button