Berita UtamaUtama

DMJ tempelak pemimpin PH pertikai keputusan mahkamah

Wan Ji perlu diperhati dengan lebih dekat oleh pihak berkuasa

BANGI, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Dewan Muda Johor (DMJ) menempelak sikap sesetengah ahli politik dan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengutuk keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

“Pemimpin yang mengutuk dan memberikan komen antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, dan Setiausaha Politik Kepada Lim Kit Siang, Syahredzan Johan. 

“Komen mereka hukuman yang dijatuhkan terlalu keras dan secara terang-terangan mempertikaikan keputusan hakim dan Jabatan Peguam Negara yang meneruskan dengan pendakwaan kes ini.

“DMJ percaya bahawa tindakan mereka ini tidak tepat kerana menggunakan media sebagai tempat meluahkan perasaan tidak puas hati,” kata DMJ.

Wan Ji, 37, ditahan di Penjara Kajang, sejak semalam selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Bekas Penasihat agama, Lim Guan Eng itu terpaksa meringkuk di penjara selepas Hakim Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dilaporkan, Anwar akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara yang dikenakan terhadap Wan Ji.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan hukuman berkenaan sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.

Mengulas perkara itu, DMJ berkata, sebagai anggota dalam kerajaan dan juga Ahli Parlimen, mereka ini mempunyai kapasiti untuk mengkaji sesuatu undang-undang di dalam Parlimen.

Katanya, jika mereka tidak menyukai sesuatu undang-undang atas justifikasi tertentu, mereka mempunyai ruang untuk mencadangkan pemansuhan undang-undang tersebut di Parlimen. 

“Selain itu, Malaysia juga mengamalkan konsep pengasingan kuasa (‘Separation of Power’), yang mana anggota kerajaan tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (judisiari). Segala keputusan kehakiman adalah bebas daripada sebarang campur tangan politik.

“Dalam hal ini, Wan Ji telah dihukum kerana menghina Sultan Selangor dan didakwa ikut Akta Hasutan. Di dalam Manifesto Pakatan Harapan, Perkara 27, antara akujanji Pakatan Harapan adalah untuk menghapuskan undang-undang yang kononnya zalim seperti Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman, Akta MKN dan pelbagai lagi. Tetapi selepas satu tahun, dan lebih 400 hari ini, masih tiada satu pun Akta tersebut dimansuhkan,” katanya.

Pada masa DMJ berpendapat, Wan Ji perlu diperhatikan dengan lebih dekat oleh pihak berkuasa kerana videonya yang menyebarkan ajaran bahawa sistem kesultanan akan dihapuskan di Malaysia, dan menjadikan Malaysia sebuah negara republik pernah tular satu ketika. 

“Tindakan berkenaan ternyata tindakan hasutan yang berniat jahat. DMJ tidak berniat untuk mempertahankan Akta Hasutan 1948, namun dalam isu ini, kerajaan perlu meneliti kes-kes yang membabitkan hasutan dan melihat apakah kaedah perundangan yang perlu diambil.

“Jika hapus Akta Hasutan adalah jalan terbaik, maka perlu difikirkan akta apa yang perlu digunakan untuk mendakwa pesalah yang menghasut kerana kebebasan bersuara di Malaysia adalah tidak mutlak, dan ada hadnya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close