Berita UtamaIstimewaUtama

Ceramah Firdaus Wong di sekolah: Ramasamy celaru

Kementerian sahkan presiden MRM penceramah motivasi

BANGI, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini, mengesahkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, dijemput sebagai penceramah motivasi di sebuah sekolah, bukannya untuk berdakwah kepada pelajar bukan Islam.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan bahawa penganut Hindu di negara ini tidak puas hati kerana KPM membiarkan Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) itu memberi ceramah kepada pelajar sebuah sekolah di Kedah, Khamis lalu.

Terdahulu, media tempatan melaporkan program ceramah motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas mengundang kontroversi apabila kehadiran Firdaus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penganut Hindu di negara ini.

Portal liberal Malaysiakini melaporkan, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam kewajaran KPM membenarkan pendakwah seperti Firdaus berceramah dalam kalangan pelajar bukan muslim.

Ramasamy turut mempersoalkan sama ada KPM sedar mengenai program berkenaan, yang disifatkannya sebagai ‘pengajaran halus’ yang berlaku di sekolah itu.

Bagaimanapun, KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa Firdaus Wong dijemput sebagai penceramah motivasi di sekolah itu bagi menyampaikan ceramah mengenai ‘sahsiah unggul murid’.

“Sepanjang sesi ceramah, tiada sebarang unsur yang membabitkan sensitiviti agama dan kaum yang disentuh oleh Firdaus.

“Pihak sekolah telah pun memaklumkan beliau perkara-perkara yang perlu dielakkan demi keharmonian warga sekolah, guru dan murid,” kata kenyataan itu.

KPM bagaimanapun, mengingatkan pihak sekolah untuk terus berhati-hati apabila menjemput sebarang penceramah dalam setiap program yang bakal diadakan.

KPM berkata, perkara itu penting supaya tidak menimbulkan prasangka yang tidak baik atau rasa tidak senang dalam kalangan warga sekolah, guru dan murid.

Firdaus Wong pula mempertikai dakwaan Ramasamy dengan berkata, beliau hanya hadir untuk memberi ceramah motivasi.

Katanya, program itu bertajuk ‘Menjadi Lelaki Cemerlang’ yang turut membabitkan guru-guru Islam dan bukan Islam bertujuan membantu pelajar melihat dari sudut yang berbeza untuk menuju kehidupan yang cemerlang tanpa menjadi materialistik.

Beliau sebelum ini terbabit dalam beberapa kontroversi dengan ekstremis Hindu yang menentang usahanya berdakwah di kalangan bukan Islam di negara ini.

April lalu, Firdaus Wong membuat laporan polis susulan ugutan bunuh terhadapnya yang dimuat naik dalam laman Facebook menggunakan nama ‘Pandian Sam’.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close