Berita UtamaUtama

7 peranti elektronik dirampas daripada pegawai Ambank

Gambar, video, maklumat dalam telefon blackberry dianalisis

KUALA LUMPUR, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) merampas tujuh peranti elektronik, termasuk dua telefon bimbit, daripada tiga pengurus perhubungan di Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan di sini pada 6 Julai 2015.

Penganalisis BNM, Suzairizman Shuib, 40, berkata rampasan itu membabitkan empat unit pemacu pena dengan empat dan lapan gigabait, satu unit cakera keras luaran serta telefon bimbit jenama BlackBerry dan Samsung.

Kesemua peranti itu dirampas daripada Joanna Yu, Krystle Yap dan Daniel Lee.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul pada hari ke-36 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata, beliau merampas kesemua barang berkenaan selepas diarah berbuat demikian oleh pengarah jabatannya, Abdul Rahman Abu Bakar, ketika memberi taklimat kepadanya.

Menceritakan lebih lanjut, saksi itu berkata, dua hari selepas kesemua barangan berkenaan dirampas, iaitu pada 8 Julai 2015, beliau menerima permohonan daripada pegawai penyiasat BNM iaitu Ahmad Farhan Sharifuddin, untuk menjalankan analisis ke atas BlackBerry milik Joanna.

Katanya, beliau telah mengekstrak maklumat yang terkandung dalam kad memori serta kad sim telefon bimbit berkenaan termasuk gambar, video serta lain-lain.

“Saya juga ‘burn’ maklumat yang saya peroleh itu sebelum menyerahkan hasil laporan kepada Ahmad Farhan. Beliau juga telah menyerahkan telefon bimbit berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Ashrof Adrin: Pada sekitar April dan Mei tahun ini, adakah kamu terima apa-apa maklumat daripada Ahmad Farhan berkaitan perbicaraan kes ini?

Suzairizman: Ada. Beliau berkata, BNM dapat court order (perintah mahkamah) yang dipanjangkan kepada saya untuk mengambil maklumat daripada (aplikasi) BlackBerry Messenger.

Mohd Ashrof Adrin: (Ahmad) Farhan ada jelaskan maklumat yang dicari daripada telefon?

Suzairizman: Ya, dia ada tunjukkan nama.

Mohd Ashrof Adrin: Anda ingat nama-nama itu?

Suzairizman: Ya, ingat. Joanna, Krystle, Daniel dan Jho Low.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close