Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

22 negara desak China henti penahanan etnik minoriti muslim

Beijing diminta benarkan penyiasat bebas, PBB melawat kem tahanan

BANGI, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – Lebih 20 negara semalam, mendesak China supaya menghentikan penahanan besar-besaran etnik minoriti muslim Uyghur dan suku kaum lain di wilayah Xinjiang, lapor agensi berita.

Ini adalah kali pertama semua negara terbabit bersama-sama membuat gesaan itu pada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), kata diplomat dan dokumen yang dilihat agensi berita Reuters.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis berkata, sekurang-kurangnya sejuta etnik Uyghur dan umat Islam ditahan di kem tahanan di rantau barat China.

Kerajaan komunis China mendakwa kem tahanan itu adalah pusat latihan vokasional, bertujuan mencegah merebaknya fahaman ekstremis, selain memberi latihan kemahiran kepada penduduk.

Surat mengandungi tandatangan duta 22 negara yang membuat desakan itu dihantar kepada presiden UNHRC pada 8 Julai lalu. Antara negara terbabit ialah Australia, Kanada, Jepun, serta beberapa negara Kesatuan Eropah.

Kenyataan bersama itu menyatakan keprihatinan terhadap laporan penahanan yang melanggar undang-undang di kem tahanan berskala besar, serta pengawasan dan sekatan meluas, khususnya menyasarkan etnik muslim Uyghur dan minoriti lain di Xinjiang.

Surat itu turut menegaskan bahawa China sebagai anggota dalam UNHRC perlu mengekalkan standard yang tinggi dalam hak asasi manusia.

“Kami meminta China untuk menegakkan undang-undang dan kewajipan antarabangsa serta menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas, termasuk kebebasan beragama atau kepercayaan di Xinjiang dan di seluruh China.

“Kami juga menggesa China untuk berhenti daripada melakukan penahanan dan larangan sewenang-wenangnya terhadap kebebasan pergerakan Uyghur, dan masyarakat muslim dan minoriti lain di Xinjiang,” kata surat itu.

Surat itu juga mendesak China membenarkan penyiasat bebas antarabangsa, termasuk Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, melawat Xinjiang. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close