Berita UtamaDuniaUtama

Roboh segera tembok aparteid

NGO gesa dunia pertahan kedaulatan tanah Palestin dari Zionis

BANGI, 7 Zulkaedah 1440H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) didesak untuk bersikap tegas dalam menangani isu pembinaan tembok pemisah haram di Tebing Barat, Palestin yang turut dikenali sebagai ‘tembok aparteid’.

Desakan itu disuarakan Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Datuk Abdul Ghani Samsudin dan  Presiden Pertububuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) Syed Sheikh Al-Attas dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Tiga pemimpin NGO itu berkata, tembok pemisah yang dibina rejim pengganas Israel pada tahun 2002 itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa, seperti dinyatakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Malah, ICJ turut menggesa supaya Israel merobohkan tembok – yang kononnya dibina atas faktor keselamatan – dan membayar ganti rugi terhadap sebarang kerosakan.

Walaupun semalam genap ulang tahun ke-15 kenyataan itu dibuat, mereka berkata, sehingga kini tembok berkenaan masih utuh, bahkan terus diperluas untuk menindas rakyat Palestin.

“Ribuan rakyat Palestin di Tebing Barat terkesan dengan tembok berkenaan yang menimbulkan kesukaran kepada kehidupan seharian mereka.

“Dunia tak sepatutnya tidak mempedulikan ketidakpatuhan Israel terhadap keputusan ICJ dan pencabulan undang-undang antarabangsa.

“Kesannya menyakitkan bagi rakyat Palestin. Ia memisahkan ribuan rakyat Palestin dengan tanah pertanian mereka sendiri serta infrastruktur dan perkhidmatan lain seperti hospital dan sekolah,” katanya kenyataan itu.

Mengulas lanjut, mereka berkata, tembok itu pada hakikatnya dibina rejim Zionis bagi tujuan memusnahkan ekonomi rakyat Palestin. 

Katanya, tembok berkenaan memisahkan lebih daripada 78 kampung Palestin membabitkan 266,442 penduduknya.

“Bank Dunia menganggarkan, sekatan itu telah menyebabkan perbelanjaan ekonomi Palestin sebanyak AS$3.4 bilion setahun,” katanya.

Sehubungan itu, masyarakat dunia digesa supaya tidak berdiam diri terhadap jenayah penjajahan Zionis ke atas wilayah Palestin.

“Ia bukan hanya tembok itu, tetapi juga ribuan unit bangunan dan rumah haram Yahudi yang dibina tanpa henti.

“Kami menggesa dunia untuk mempertahankan kedaulatan tanah Palestin dan mendesak undang-undang antarabangsa merobohkan tembok berkenaan,” katanya.

Israel mendirikan tembok konkrit untuk memisahkan Tebing Barat dari Baitulmuqaddis dua tahun selepas Intifada kedua bermula pada 2000.

Rejim itu juga telah membina dinding sepanjang sempadan dengan Mesir, Jordan, Lebanon dan Bukit Golan.

Februari lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu Israel memaklumkan akan memulakan fasa baharu pembinaan tembok pemisah di Semenanjung Gaza.

Pembinaan tembok yang dijangka siap hujung tahun ini, kata pemimpin zionis itu, adalah bagi menghalang warga Palestin menyusup masuk dari Gaza.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close