Berita UtamaDunia

Tentera udara Taiwan jalani latihan simulasi perang, pamer kehebatan pada China

Pesawat China kerap ceroboh zon pertahanan udara Taiwan

TAIPEI, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Tentera udara Taiwan menjalankan latihan simulasi situasi perang untuk menunjukkan kesediaan pertempuran, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dengan Beijing.

Latihan itu dijalankan di pangkalan di bandar selatan Chiayi, hari ini di mana jet Taiwan berlepas ke udara sebagai sebahagian daripada latihan tiga hari untuk mempamerkan kehebatan tentera pulau yang ditadbir sendiri itu menjelang cuti Tahun Baru Cina pada hujung bulan ini.

Kru penerbangan dilaporkan bergegas menyediakan pesawat ketika penggera dibunyikan sebelum berlepas di pangkalan – ‘rumah’ untuk jet pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat (AS).

Mejar Yen Hsiang-sheng memberitahu pemberita bahawa pesawat China kerap memasuki zon pertahanan udara (ADIZ) Taipei.

“Juruterbang daripada sayap kami sangat berpengalaman dan telah menangani hampir semua jenis pesawat mereka,” katanya.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan di antara Taipei, China dan AS berada pada tahap tertinggi sejak beberapa dekad.

China telah menerbangkan jet pejuang berhampiran Taipei, manakala AS dilaporkan menempatkan tentera di wilayah itu sejak setahun lalu untuk tujuan latihan seperti yang didakwa.

Pada Oktober lalu, China menerbangkan 150 pesawat melintasi zon pertahanan udara khas Taipei dalam lima hari pertama bulan itu. 

Kementerian Pertahanan Taipei menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pencerobohan.’

Bulan lalu, Presiden Joe Biden berkata, AS akan datang membantu Taipei jika diserang dari China, mendakwa ia mempunyai komitmen untuk mempertahankan pulau yang diperintah sendiri itu.  

China membidas kenyataan itu, menuduh Washington campur tangan dalam hal ehwal dalamannya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button