Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Arab Saudi beri amaran jangan jadikan ibadah haji medan politik

Pemimpin Syiah gesa jemaah Iran adakan demonstrasi di Tanah Suci

ARAB SAUDI, 7 Zulkaedah 1440H, Rabu – Riyadh memberi amaran kepada semua jemaah haji supaya tidak mencampuradukkan ibadah tahunan itu dengan masalah politik.

Dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikan Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, jemaah haji diingatkan supaya menghormati Tanah Suci sebagai tempat ibadat, bukan tindakan politik.

Amaran dikeluarkan susulan ugutan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengenai gangguan dan kemungkinan demonstrasi politik oleh jemaah haji negara itu tahun ini, dan kritikan terhadap cara Arab Saudi menguruskan jemaah.

“Kesilapan besar yang mereka (Arab Saudi) lakukan ialah dengan berkata ‘jangan politikkan haji’. Mewujudkan perpaduan adalah perkara politik.

“Menyokong dan mempertahankan dunia Islam yang ditindas, seperti Palestin dan Yaman, adalah urusan politik, berdasarkan ajaran dan kewajiban dalam Islam.

“Haji adalah aksi politik dan tindakan politik ini adalah kewajiban agama,” dakwa Khamenei sambil turut menyatakan langkah-langkah keselamatan dikenakan Riyadh bagi ibadat haji terlalu ketat.

Menteri Komunikasi Arab Saudi, Turki Al-Shabanah menggesa jemaah haji mengelak daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik, termasuk melaungkan slogan tertentu, yang akan mengganggu jemaah lain.

“Arab Saudi tidak boleh menerima tingkah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil bagi membendung salah laku seperti itu,” katanya.

Pada 31 Julai 1987 lalu, jemaah haji Iran bertempur dengan pasukan keselamatan Arab Saudi yang cuba menghalang mereka daripada mengadakan demonstrasi, menyebabkan 402 terkorban – 275 jemaah Iran; 85 anggota polis Arab Saudi; dan 42 jemaah negara lain, sementara ribuan lagi dilaporkan cedera.

Pertempuran itu berlaku apabila polis Arab Saudi menutup jalan ke kawasan di mana jemaah Iran merancang berkumpul untuk tunjuk perasaan mengutuk Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, penulis dan wartawan Iran dalam buangan, Amir Taheri berkata, ugutan dan gesaan Khamenei supaya diadakan tunjuk perasaan ketika musim haji kali ini, adalah hasutan keganasan.

“Pentas ibadah haji ditetapkan untuk rusuhan oleh jemaah yang dihantar oleh Tehran ke Arab Saudi untuk menghasut keganasan ketika haji.

“Arab Saudi akan menyesal kerana menambah kuota haji Iran sehingga 10,000. Tahun ini, kira-kira 90,000 warga Iran yang mengerjakan haji akan menjadikan ibadah itu sebagai pentas demonstrasi anti-AS.

“Perbuatan itu mungkin mencetuskan ketegangan dan keganasan di kalangan jemaah haji, khususnya dengan pasukan keselamatan Arab Saudi,” katanya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close