Berita UtamaIstimewaPendapatUtama

Pensyarah ‘kangkung’: Kadir

Bekas menteri dakwa Najib bebankan negara, rakyat RM75 bilion

MINTA maaf kisah kali ini panjang sikit.

Ia bermula bila seorang bekas menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tumbang 9 Mei 2018 lalu sifatkan penyelewengan bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, sebagai “tahi”.

Saya kata “najis”, tapi dia kata bukan najis tapi tahi.

Dia pun buat congak dan dapat angka RM75 bilion “najis kewangan” yang Najib bebankan ke atas negara dan rakyat jelata.

Sikit sebanyak saya sudah sebut dalam tampalan Facebook saya semalam. Tapi saya tidak terkejut kalau ada lagi tahi yang kita akan jumpa di masa depan.

Sebahagian daripada tahi atau “taik” yang Najib tinggalkan itu ada unsur jenayah macam pecah amanah dan pengubahan duit haram SRC International yang sedang dibicarakan sekarang.

Itu pun, macam saya kata dalam Facebook saya, ada lagi orang Melayu Islam, tok haji, tok lebai, malah pensyarah universiti, yang percaya Najib ini baik dan sanjung dia sebagai “bossku”.

Maaf cakaplah kalau saya terpaksa kata, banyak orang Melayu Islam di Malaysia ini kalau pasal identiti (jati diri) bukan main bersemangat tapi nampak macam tak faham atau tak peduli berkenaan digniti (harga diri).

Atau orang Melayu Islam di Malaysia ini adalah hipokrit paling besar di dunia. Cakap pasal bangsa Melayu dan agama Islam bergegar-gegar, tapi duit rasuah, duit curi dan duit yang mereka tidak tahu haram halalnya mereka terima, bagi makan anak bini dan buat naik haji.

Saya pun malu bila suku-sakat saya sendiri kata: “Tak apalah yang curi duit tu dia bukan kita. Itu antara dia dengan Tuhanlah. Dia bagi kita ambil lah.”

Bukan ambil saja. Lepas itu pertahan pula orang yang mereka sendiri kata buat salah.

Mereka ini orang yang sembahyang sampai kematu dahi dan tak putus-putus hadir kuliah agama di mana mereka selalu dibagi amaran supaya jaga makan minum.

Jaga apa yang dibagi makan kepada anak bini. Dibagi amaran, daging yang jadi daripada sumber haram akan dibakar api neraka.

Yang sedih dan anehnya bukan rakyat totok saja yang percaya diayah bahawa Najib ini kena aniaya dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) aniaya dia.

Profesor dan pensyarah pun ada yang percaya – macam seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sebarkan maklumat palsu, tidak lengkap dan buat kesimpulan songsang kononnya kerajaan PH jual harta negara.

Najib Yang Jual

Kalau pun ada kerajaan PH jual harta negara, ini adalah harta yang sudah pun dijual oleh Najib dan kerajaan BN masa mereka berkuasa macam tanah TRX, tanah Bandar Malaysia dan Edra Global Energy.

Itu pun mana yang tidak terlambat kita runding semula dan berjaya kurangkan belanja dan dapat syarat yang lebih baik daripada yang Najib rundingkan.

Ambil contoh ECRL yang kita berjaya kurangkan kos sebanyak RM21.5 bilion.

Yang lain yang kita dengar dijual itu adakah harta syarikat (korporat) yang sememangnya boleh dijual beli. Itu pun kerana terpaksa jual untuk tampung hutang yang Najib tinggalkan dan kerugian besar yang Najib dan konco-konco dia buat.

Kita tidak jual sesuka hati macam Adnan Mansor buat dengan tanah Bandaraya Kuala Lumpur. Hanya aset korporat yang tidak terlalu penting, tidak strategik atau rugi terlalu besar kita jual.

Aset penting dan strategik macam yang dimiliki Felda dan Tabung Haji (TH) dijual kepada agensi milik kerajaan sendiri. Lebih kurang dari tangan kiri kepada tangan kanan.

Penerbangan Malaysia (MAS) pun kalau ada pembeli tempat, kita wajib bagi keutaman kepada mereka sebelum kita berunding dengan orang luar.

Cukuplah kerajaan dan pembayar cukai bagi kepada MAS RM25 bilion sejak tahun 2001.

Kalau tak percaya, tengoklah TH. Dari awal lagi kita bagi amaran dan kita bantah Najib lantik konco dia, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, jadi pengerusi TH.

Kita tahu siapa dia ini. Tapi Najib masa dia berkuasa dia tak dengar nasihat siapa pun kecuali konco-konco dia dan bini dia, Datin Paduka Seri Puti Reno Rosmah Mansor.

Abdul Azeez dilantik jadi pengerusi TH pada 1 Julai 2013. Kalau ikut gelaran menanglah dia ni Melayu yang hebat – Datuk Seri Panglima. Tapi panglima apa? Dalam masa tak sampai lima tahun TH lingkup.

Berikut inti pati laporan/penjelasan yang saya dapat daripada beberapa sumber termasuk TH sendiri dan Kementerian Kewangan mengenai bala yang timpa TH:

1.Pengurusan dan pentadbiran terdahulu telah menyeleweng dana Tabung Haji melalui pembelian yang meragukan sehingga rugi RM10.2 bilion.

2.Pengurusan juga telah memanipulasi standard perakaunan untuk mengelakkan akaun mereka menunjukkan kerugian dan dengan itu boleh bayar hibah yang tinggi. Mereka guna duit penyimpan untuk bayar hibah. Maksudnya makan modal.

3.Untuk selamatkan Tabung Haji, Kerajaan terpaksa beli aset TH yang telah jatuh nilainya dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Kerajaan beli aset TH yang nilainya RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion melalui syarikat milik kerajaan Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

Kerajaan tak jual harta TH kepada orang luar atau kepada Cina DAP macam didakwa oleh sesetengah pensyarah dan profesor “kangkung” serta lebai penjaja agama. Tak macam Najib jual Edra kepada syarikat negeri China.
Alhamdulillah Abdul Azeez telah pun didakwa di mahkamah dan siasatan telah dan sedang dilakukan ke atas bekas ahli lembaga pengarah serta pengurusan kanan TH.

Yang banyak jual aset negara dan aset GLC kepada orang luar ni Najib dan konco-konco dia. Bila tak ada duit untuk bayar hutang atau untuk isytihar dividen yang tinggi mereka jual aset untuk jana keuntungan luar biasa.

Hari demi hari harta negara dan aset GLC makin berkurangan atau susut nilainya. Kemampuan untuk buat keuntungan semakin tipis maka akhirnya jadilah macam TH.

Banyak Lagi Najis

Masalahnya bukan di TH dan Felda saja Najib dan konco-konco dia buat “najis”. Banyak lagi tempat yang mereka geledah dan perah.

Berikut saya senaraikan secara sepintas lalu butir-butir yang saya peroleh daripada sumber rasmi, separuh rasmi dan media massa mengenai “tahi” yang Najib dan konco-konco dia tinggalkan:

1MDB

1.Kerajaan sekarang sedang tanggung RM32.2 bilion hutang 1MDB.

2.Jumlah ini bagaimanapun belum masuk bayaran faedah dan bayaran lain yang berkaitan dengannya.

3.Aset 1MDB tidak mampu jana hasil untuk bayar faedah dan bayar balik pinjaman maka dengan itu perlu ditanggung melalui peruntukan Kerajaan. Kita yang bayar cukai dan anak cucu kitalah yang tanggung.

4.Jumlah faedah dan bayaran balik pinjaman yang Kerajaan kana tanggung dianggarkan lebih RM50 bilion.

Felda

1.Kelemahan tadbir urus dan penyelewengan seperti beli harta dengan harga yang terlalu tinggi telah jejaskan kewangan FELDA. Bagi pulihkan balik Felda Kerajaan terpaksa suntik RM6.2 bilion.

2.Contoh terbaik penyelewengan ialah apabila Felda “dipaksa” beli syarikat ladang PT Eagle High Plantation di Indonesia dengan nilai RM2.1 bilion walaupun harga pasaran hanya RM1.0 bilion. Pada akhir tahun 2018, nilai pelaburan ini telah jatuh kepada RM600 juta saja.

3.Ini semua kerana pemilik PT Eagle High Plantation adalah kawan baik dan konco Najib bernama (Tan Sri) Peter Sondakh, seorang Cina Indonesia.

SSER

1.Skandal saluran paip gas Sabah bernilai RM9.4 bilion ini melibatkan syarikat dari negeri China.

2.Konspirasi menipu ini jelas bila bayaran RM8.3 bilion atau 88 peratus dibuat sedangkan kerja pembinaan yang dilaksanakan hanya 13 peratus. Itu pun tidak dapat disahkan secara rasmi.

Satu lagi skandal yang dikhuatiri akan meletup ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang melabur pencen anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Apa yang ditemui sehingga ini ialah:

1.Tindakan pengurusan terdahulu telah jejaskan kedudukan kewangan hingga susah bagi LTAT hendak isytihar dividen bagi tahun kewangan 2018.

2.Sebagai contoh, LTAT telah “dikerah” untuk beli syarikat konsesi “automated enforcement system” (AES) dengan harga RM555 juta walaupun projek tersebut dikhuatiri tidak berdaya maju dan ditentang oleh pengguna jalan raya.

3.Yang peliknya, ada ahli lembaga pengarah yang duduk dalam lembaga lebih 20 tahun dan kumpul saham anak syarikat LTAT sampai hampir RM150 juta.

Saya yakin iaitu setelah selamatkan TH dan Felda, kerajaan tentulah tidak akan abaikan kebajikan anggota dan pesara tentera. Sekali lagi kerajaan PH kena bersihkan “najis” yang kerajaan BN tinggalkan. Najib ni lama jadi Menteri Pertahanan.

SRC International Sdn Bhd

1.SRC ni asalnya anak syarikat 1MDB. Tapi bila tak mampu bayar balik hutang, Najib pindahkan ke Kementerian Kewangan. Masa itu dia Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

2.Seperti yang kita dengar dalam laporan perbicaraan Najib sekarang, dia arah Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) supaya bagi pinjaman RM4 bilion kepada RSC yang sebanyak RM42 juta didakwa masuk ke dalam akaun peribadi dia.

3.Hutang RM4 bilion ini dijamin oleh Kerajaan Pusat tapi SRC ni tak ada aset untuk bayar balik hutang KWAP. Nak bayar faedah pun tak ada duit.

4. Jadi siapa yang kena tanggung “tahi” yang Najib buat ini? Jawabnya Kementerian Kewangan. Akhirnya kita yang bayar cukai dan anak cucu kitalah yang kena tanggung “tahi” Najib ini.

Bayaran balik Cukai Jualan

1.Kerajaan BN kata hasil cukai dan kedudukan kewangan kerajaan lebih kukuh kerana GST. Tapi dia tak ambil kira rebat cukai pendapatan dan GST yang kena dipulangkan kepada pembayar cukai.

2. Bila Kerajaan PH ambil alih, kita dapati Najib berhutang RM37 bilion kepada pembayar cukai. Kita paksa sediakan RM37 bilion untuk bayaran balik tertunggak iaitu RM19 bilion untuk GST dan RM18 bilion untuk cukai pendapatan.

3.Jumlah itu tak dapat dibiayai dengan hasil biasa jadi kerajaan terpaksa minta dividen khas RM30 bilion dari Petronas.

Jangan Jadi Munafik

Tok haji, tok lebai, petani, nelayan, kakitangan kerajaan, profesor tulen dan profesor kangkung marilah kita berfikir dalam sikit.

Kalau Najib ni tak ada apa-apa nak sembunyi, pasal apa dia bantah sangat akta wajibkan Ahli Parlimen macam dia isytihar harta?

Boleh kata semua Ahli Parlimen PH dah isytihar. Jadi pasal apa pembangkang liat sangat?

Dulu masa skandal 1MDB mula timbul, Najib kata dia kaya dan banyak duit sebab “legacy” – keturunan.

Memanglah keturunan dia kaya, terutama sebelah ibu. Datuk dia, Almarhum Tan Sri Mohamed Noah Omar atau “Noh Berot”, adalah rakan kongsi mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dalam projek judi dan riadah Genting Highlands. Gelaran “Noh Berot’ ni adalah kerana dia belajar di Beirut, Lebanon.

Berkenaan pensyarah yang menuduh kerajaan PH jual RM20 bilion aset negara dalam masa 400 hari itu, nama yang dia pakai adalah Abdul Muein Abadi. Dia dakwa dia pensyarah program Sains Politik UKM.

Rencananya yang bertajuk “Eksklusif: 400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara” itu disiarkan, antara lain, oleh portal politik Umno-Online. Maaf cakaplah rasa macam ada konspirasi.

Naib Canselor UKM ni nama dia Prof. Ir. Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor. Dia ni lantikan zaman kerajaan PH oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Punyalah baik kerajaan PH dan si Maszlee ni maka turut dilantiknya bekas menteri Kabinet Najib, Tan Sri Abdul Wahid Omar, untuk jadi pengerusi lembaga pengarah UKM.

Jadi saya mintalah Maszlee bagi penjelasan dan pencerahan kalau dia baca blog kita ini. Takut-takut kita ni jadi mangsa mainan kayu tiga oleh “the deep state”.

Wallahuaklam. Terima kasih.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam blog penulis semalam.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close