Berita UtamaDuniaEropahTimur TengahUtama

Iran ugut rampas kapal Britain

Kapal tangki super bawa minyak Iran didakwa langgar sekatan

DUBAI, 3 Zulkaedah 1440H, Sabtu – Komander Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Mohsen Rezai, mengugut akan merampas kapal Britain sebagai tindak balas terhadap penahanan kapal tangki Iran oleh Marin Diraja United Kindom di Gibraltar, kelmarin.

“Jika Britain tidak melepaskan kapal tangki minyak Iran, ia akan menjadi tugas pihak berkuasa untuk merampas kapal tangki Britain,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Kerajaan Gibraltar berkata, semua kru kapal tangki Grace 1 disoal siasat sebagai saksi bagi menentukan muatan dan destinasi, bukan suspek jenayah.

Marin Diraja Britain menaiki dan merampas Grace 1 di perairan wilayahnya Khamis lalu, kerana dituduh melanggar sekatan dengan membawa minyak ke Syria. Mereka mendaratkan helikopter di atas kapal tangki itu pada waktu malam.

Tindakan itu mencetuskan konfrontasi antara Iran dan negara Barat, lebih seminggu selepas Amerika Syarikat (AS) bersedia melancarkan serangan ke atas Iran, tetapi dibatalkan pada saat akhir.

Tehran memanggil duta Britain Khamis lalu dan menyuarakan bantahan keras terhadap apa yang didakwa ‘rampasan yang salah dan tidak boleh diterima’ – langkah yang kini menghilangkan keraguan mengenai pemilik kapal tangki itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi berkata, minyak mentah yang dibawa kapal itu adalah dari Iran.

Dokumen kapal berkenaan menyatakan minyak itu adalah dari Iraq, tetapi data pengesan kapal mencadangkan Grace 1 berlabuh dan minyak diisi di sebuah pelabuhan Iran.

Sejak dua bulan lalu, Washington meningkatkan tekanan dan sekatan terhadap Tehran, dengan menyasarkan eksport minyak negara itu.

Tindakan itu memberi kesan mendalam kepada Iran yang terpaksa mencari pasaran tidak konvensional untuk menjual minyak mentahnya.

Grace 1 disita di wilayah Britain di selatan Sepanyol selepas belayar di sekitar Afrika dari Timur Tengah hingga ke Laut Mediterranean, laluan yang tidak biasa diambil kapal-kapal Iran.

Jurucakap pihak berkuasa Gibraltar berkata, 28 kru kapal itu, kebanyakannya warga India, Pakistan dan Ukrain, diletakkan di atas kapal berkenaan.

“Polis dan pegawai kastam ditempatkan di atas Grace 1 bagi meneruskan siasatan,” katanya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close