Berita Utama

Digugurkan calon BN, Ismail Muttalib umum masuk PAS

Tanding tiket PN bagi pertahan kerusi Parlimen Maran

MARAN, 10 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib mengesahkan beliau kini bersama PAS, sehari selepas diumum akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Beliau bagaimanapun mengakui tidak akan menghantar surat rasmi untuk keluar parti kepada UMNO, sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan untuk membuat keputusan berhubung status keahliannya.

“Saya tidak akan hantar surat… kalau kita sudah masuk (bersama parti lain), maksudnya kita sudah keluar (UMNO)… saya tawarkan diri untuk ini (jadi calon PN) dan kita bersama (PN) untuk penamaan calon,” katanya pada sidang media selepas program Karnival Memperkasa Komuniti Keluarga Malaysia Daerah Maran di Arena Tengku Muda Pahang.

Ditanya sama ada beliau bersedia disunting PAS untuk menjadi ahli parti itu, Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata: “Saya berpihak dan sudah bersama PAS.”

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa Ismail akan bertanding atas tiket PN bagi mempertahan kerusi Parlimen Maran yang disandang beliau sejak 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN).  

Pengumuman itu dibuat tiga hari selepas Ismail sah digugurkan daripada senarai calon BN dan digantikan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button