Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Rejim Mesir tahan semula anak perempuan Yusuf Qaradawi

Ola al-Qaradawi dituduh pula terbabit dalam kumpulan pengganas

MESIR, 2 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Hanya beberapa jam sahaja mahkamah membebaskannya, anak perempuan ulama terkenal Yusuf Qaradawi – Ola – ditahan semula oleh rejim Kaherah atas tuduhan ‘menyertai pergerakan pengganas’.

Susulan tindakan terbaharu rejim Mesir itu, Ola, melancarkan mogok lapar, kata peguamnya.

Pendakwa rejim Mesir mengenakan tuduhan baharu terhadap wanita berusia 58 tahun itu atas dakwaan berkomunikasi dan menyediakan sokongan kepada kumpulan pengganas ketika ditahan di penjara.

Beliau yang ditahan sejak dua tahun lalu, ditangkap semula semalam, beberapa jam selepas mahkamah membebaskannya daripada tuduhan sebelum ini.

Peguam beliau, Ahmad Magdi berkata, Ola ditahan reman selama 15 hari bagi membantu siasatan terhadap tuduhan baharu – menyertai pergerakan pengganas.

Berdasarkan undang-undang Mesir, tuduhan itu membolehkan pihak berkuasa rejim menahan beliau untuk tempoh dua tahun, tanpa perbicaraan.

Anak perempuannya, Aayah berkata, Ola ditahan bersendirian sejak dua tahun lalu dan tidak berhubung dengan mana-mana tahanan lain ketika di dalam penjara.

Ola, warga Qatar berketurunan Mesir, dan suaminya, Hosam Khalaf, rakyat Mesir, ditangkap pada 2017.

Kedua-duanya dituduh mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin – pergerakan yang diisythiarkan pengganas dan diharamkan rejim Abdel Fattah el-Sisi, selepas merampas kuasa pada 2013.

Yusuf Qaradawi sendiri yang tinggal dalam buangan adalah ulama yang dihormati di kalangan ahli dan penyokong Ikhwanul Muslimin.

Peguam kedua-duanya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Jared Gesner berkata, Ola dan Khalaf menafikan mereka menyokong pergerakan itu.

“Ola bukan ahli politik, sementara Khalaf pula menyertai parti pembangkang Islam Al Wasat, yang didaftarkan secara sah di Mesir,” katanya.

Rejim el-Sisi tidak pernah mengemukakan bukti menunjukkan pasangan itu terbabit dalam keganasan.

Sejak penangkapannya, Ola ditahan berasingan di Penjara Wanita al-Qanater di Qalyubia. Bilik kurungannya hanya 160 sentimeter kali 180 sentimeter, dan tidak mempunyai katil, bilik air, sistem pengudaraan dan lampu, lapor pemantau hak asasi manusia.

Beliau hanya dibenar menggunakan bilik air luar selama lima minit setiap pagi, sementara Khalaf pula dikurung dalam keadaan sama di penjara lain. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close