Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Penyelesaian baru buat Uyghur mungkin dicapai, kata Erdogan

Turki konsisten kecam tindakan Beijing tindas umat Islam Xinjiang

TURKI, 2 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam berkata, satu penyelesaian mungkin dicapai bagi membantu umat Islam yang ditahan di kem-kem tahanan di China, dengan mengambil kira sensitiviti kedua-dua negara.

Turki adalah satu-satunya negara majoriti umat Islam yang sering mengkritik China berhubung penahanan kira-kira sejuta muslim etnik Uyghur, serta minoriti Islam lain di wilayah Xinjiang.

Erdogan dalam nada lembut berkata demikian selepas bertemu Presiden China, Xi Jingping di Beijing, semalam.

“Saya percaya kita akan mencapai penyelesaian berhubung isu itu dan mengambil kira sensitiviti kedua-dua negara,” katanya kepada wartawan Turki di Beijing, sebelum pulang ke Ankara.

Beijing meningkatkan kempen penindasan terhadap etnik minoriti muslim di Xinjiang susulan siri serangan dan rusuhan kaum sejak lebih 10 tahun lalu.

China bagaimanapun, menafikan menahan umat Islam Xinjiang sewenang-wenangnya dan mendakwa kem tahanan itu adalah pusat latihan vokasional bertujuan menjauhkan penduduknya daripada sikap ekstremis.

Namun, sehingga kini Beijing tidak membenarkan mana-mana agensi atau pertubuhan antarabangsa melawat pusat tahanan itu.

Februari lalu, Kementerian Luar Turki mengecam layanan China terhadap etnik Uyghur dan menyifatkannya sebagai ‘memalukan kemanusiaan’ serta berkata, mereka yang ditahan di kem-kem terbabit didera dan diindoktrinasi.

Ramai yang merujuk Xinjiang sebagai wilayah autonomi Uyghur – tempat tinggal bagi etnik minoriti, termasuk keturunan Uyghur Turki di Turkestan Timur.

Mereka percaya etnik Uyghur adalah antara suku kaum Turki yang tinggal di wilayah itu, dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada Asia Tengah, bukan China.

Uyghur, kumpulan etnik Turki merangkumi 45 peratus populasi Xinjiang, menuduh Beijing melakukan polisi keras terhadap mereka, termasuk mengenakan beberapa larangan berkaitan agama Islam, perdagangan dan aktiviti budaya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close