AfrikaBerita UtamaDuniaUtama

Konflik Sudan: Tentera, pihak awam sepakat tadbir negara

Pilihan raya umum pilih kerajaan diadakan dalam tempoh 3 tahun

SUDAN, 2 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Majlis Tentera (TMC) yang memerintah dan pemimpin pembangkang serta penunjuk perasaan mencapai kata sepakat untuk berkongsi kuasa dalam tempoh peralihan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Pengantara Kesatuan Afrika (AU), Mohamed Hassan Lebatt berkata, kedua-dua pihak yang mengadakan berbincangan di Khartoum sejak dua hari lalu, bersetuju mewujudkan majlis pentadbiran yang bergilir-gilir antara tentera dan awam bagi tempoh tiga tahun akan datang atau kurang.

Menurut persetujuan itu, kedua-dua pihak masing-masing akan memiliki lima kerusi, sementara kerusi tambahan disediakan kepada pihak awam yang dipersetujui antara tentera dan gabungan Pergerakan Kebebasan dan Perubahan (FFC).

Pihak tentera akan mengetuai majlis itu bagi 21 bulan pertama, sementara FFC akan mengambil alih bagi 18 bulan terakhir sebelum pilihan raya diadakan.

Kedua-dua pihak juga bersetuju membentuk kerajaan teknokrat bebas, dan melakukan siasatan telus serta bebas ke atas keganasan terhadap penunjuk perasaan di ibu negara Sudan beberapa minggu lalu.

Mohamed Hassan berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju menangguhkan penubuhan dewan perwakilan rakyat.

Mereka sebelum ini bersetuju FFC akan menguasai dua pertiga kerusi dewan perwakilan, sebelum pihak berkuasa mematahkan tunjuk perasaan aman pada 3 Jun lalu, menyebabkan ratusan terbunuh, dan menggagalkan rundingan.

“Kedua-dua pihak juga setuju melakukan siasatan telus, bebas dan diadakan pada peringkat nasional terhadap semua insiden kekacauan dan keganasan yang dihadapi sejak beberapa minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, pemimpin tertinggi FFC, Omar al-Degair berkata, perjanjian berkenaan membuka jalan kepada peralihan kuasa menuju ke era baharu.

“Perjanjian ini adalah komprehensif dan tidak mengetepikan mana-mana pihak,” kata Timbalan Pengerusi TMC, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo.

Sudan menyaksikan kekacauan umum sejak tentera menggulingkan Presiden Omar al-Bashir, April lalu, sebulan selepas demonstrasi rakyat berikutan kenaikan harga roti. – Agensi

Roti jatuhkan seorang presiden

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close