Berita UtamaIstimewaUtama

Tun M boleh masuk balik UMNO tapi ada syarat: Annuar Musa

PH sedang berpecah, rakyat perlu cari formula baru selamat negara

Oleh Razali bin Zakaria

BANGI, 29 Syawal 1440H, Rabu – Ada ura-ura Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali kepada UMNO dan bagaimana penerimaan ahli terhadapnya, namun Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa ianya belum sampai ke tahap itu.

“Cuma dalam sejarah politik Malaysia, kita terima hakikat, bahawasanya perubahan-perubahan yang berlaku kepelbagaian adunan, daripada dulu UMNO, daripada tiga parti dalam Perikatan, kemudian Perikatan bergabung dengan PAS pada awal tahun 70-an… lepas tu berpecah lagi.

“Kita lihat PAS pernah bekerjasama dengan DAP dalam Angkatan Perpaduan Ummah, bersama dengan proksi Tengku Razaleigh (Hamzah)… lepas tu keluar lagi,. Kemudian kita lihat parti Keadilan dan sebagainya… sehinggalah sekarang ini.

“Jadi, realiti yang mesti kita terima… politik itu dinamik. Yang pentingnya ialah ia harus menjurus kepada kesejahteraan dan keadaan negara yang lebih baik,” katanya dalam program ‘Kerusi Panas’ TV Pertiwi menerusi tajuk ‘Reinkarnasi UMNO: Bolehkah UMNO bangkit semula?’ dihostkan Dinnie Asyraf yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

Formula yang wujud sekarang ini adalah baharu… PH adalah formula baharu, tidak ada cawangan atau bahagian dan mereka menubuhkan gabungan terlebih dahulu, baharu hendak memantapkan parti, katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ternyata sekarang ini PH sedang menghadapi masalah kerana pakatan mereka tidak seperti gabungan Barisan Nasional (BN).

Annuar berkata, PH mesti menerima hakikat bahawa mereka sedang menghadapi masalah dan rakyat Malaysia sekarang ini tidak dapat tidak mesti memikirkan kepada satu formula atau gabungan baharu yang boleh mengatasi masalah itu.

“Apakah bentuk gabungan itu, pada saya adalah terbuka. UMNO sebuah parti yang prakmatik. Yang penting dasar itu mesti selari. Kalau mana-mana gabungan sekalipun, termasuk seperti yang ditanya tadi… kalau betul (Dr Mahathir akan kembali kepada UMNO), soalnya untuk apa?

“Di mana nak letak kedudukan orang Melayu… di mana nak letak orang Islam… di mana nak letak kedudukan raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

“Jika sependapat dengan kami, kita boleh bergabung. Tapi kalau hanya nak menyelamatkan diri mereka yang nak tenggelam, kemudian nak menggunakan UMNO sebagai pelampung, barangkali itu akan ditolak oleh ahli,” katanya.

Menjawab soalan Dinnie Asyraf mengenai pendirian beliau sendiri sekiranya Dr Mahathir kembali kepada UMNO, Annuar berkata:

“Saya daripada dulu saya kata saya adalah orang yang diangkat dalam politik oleh Dr Mahathir. Saya sentiasa menghargai segala jasa-jasa beliau… kepimpinan beliau sampai ke hari ini.

“Saya lihat Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin mempunyai peranan dan juga mempunyai kebolehan untuk menyumbang sebanyak mungkin kepada negara sehinggalah pada saat di usia 94 tahun.

“Pada masa yang sama, itu tidak menjadikan segala-galanya saya boleh ikut Dr Mahathir. Saya adalah orang parti… saya pertahankan UMNO itu dahulu. Jadi soal boleh terima atau tidak Dr Mahathir… soalan itu perlu kembali ke sebelah sana… yang penting UMNO mesti dipertahankan.”

KERUSI PANAS | Episod 3

Ke udara sekarang di Tv Pertiwi.INKARNASI UMNO: Bolehkah Umno Bangkit Semula?Tetamu: Tan Sri Annuar MusaSetiausaha Agung UMNOJuga boleh ditonton secara langsung di laman web www.pertiwi.tv atau di Youtube Tv Pertiwi.Sila Like, Komen & Share#aspirasimindabaharu

Posted by TV Pertiwi on Rabu, 3 Julai 2019

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close