Pendapat

Kekeliruan liberal berhubung mengingati mati

Kenyataan Rafidah Aziz jelas bercanggah dengan Rasulullah ﷺ

TAN Sri Rafidah menempelak tafsiran agama yang sempit yang dikatakan berlaku dalam pengajaran di sekolah.

Beliau memberikan contoh pengajaran mengenai mengingati mati sebagai satu ajaran yang sempit. Beliau sempat menceritakan pengalamannya ketika melihat persembahan kanak-kanak di sebuah sekolah yang mengingatkan kita mengingati mati. Rafidah berkata:

“Dalam ucapan saya, saya menghentam (pentadbiran) sekolah berkenaan. Adakah ini yang kamu ajar? Kanak-kanak ini belum pergi ke sekolah lagi dan kamu mahu mereka ingatkan orang dewasa mengenai akhirat?”.

2. Apa yang diungkapkan oleh Tan Sri ini jelas bercanggah dengan pandangan yang diutarakan oleh Rasulullah ﷺ. Dalam sebuah hadis, Ibn Umar pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ mengenai sifat orang cerdik. Kata Ibn Umar:

فأي المؤمنين أكيس؟ قال: “أكثرهم للموت ذكرا، وأحسنهم لما بعده استعدادا أولئك الأكياس

“Wahai Rasulullah ﷺ, siapakah mukmin yang paling cerdik. Rasulullah ﷺ lalu berkata: Mereka yang cerdik adalah mereka yang banyak mengingati mati dan bersedia untuk kematian mereka. Mereka itulah golongan yang cerdik.”

Malangnya pada hari ini, terdapat juga mereka yang melihat usaha mendidik anak-anak agar memikirkan soal masa depan akhirat mereka sebagai satu tafsiran agama yang sempit.

3. Al-Imam Ibn Kathir turut menceritakan mengenai satu situasi yang menarik yang berlaku dalam kehidupan Khalifah Umar Abdul Aziz. Ia direkodkan di dalam kita al-Bidayah wa al-Nihayah yang menyebut:

ان عمر بن عبد العزيز بكى ، وهو غلام صغير ، فبلغ ذلك أمه فأرسلت إليه فقالت : ما يبكيك؟ قال : ذكرت الموت . فبكت أمه . وكان قد جمع القرآن وهو غلام صغير

“Umar Abdul Aziz pernah menangis ketika beliau masih kecil. Perkara ini disampaikan kepada ibu beliau, lalu ibunya segera mendapatkannya. Si ibu lalu bertanya, apa yang membuatkan engkau menangis? Umar lalu menjawab: kerana mengingati mati. Ibu beliau terus menangis. Umar dikatakan telah menghafal al-Quran sejak beliau kecil lagi.”

4. Kisah ini mengingatkan kita bagaimana anak kecil yang mempunyai kefahaman Islam yang baik akan membesar sebagai seorang pemimpin yang baik. Umar Abdul Aziz pernah diiktiraf sebagai Khalifah al-Rasyidin yang kelima kerana kehebatan pentadbiran beliau.

Kisah beliau yang mengingati mati seharusnya menjadi pengajaran buat kita mengenai sosok peribadi yang hebat sejak kecil. Anehnya hari ini bila ada anak kecil yang ingatkan mengenai kematian, ada pula yang menganggap ia sebagai tafsiran agama yang sempit.

5. Ingatlah pesan Rasulullah ﷺ mengenai mengingati mati ini:

أكثروا ذكر هَاذِمِ اللَّذَّاتِ فإنه ما ذكره أحد فى ضيق من العيش إلا وسعه عليه ولا فى سعة إلا ضيقه عليه

“Perbanyakkanlah mengingat pemutus kelazatan (iaitu mengingati kematian) kerana jika seseorang mengingatnya saat sempit, maka dia akan merasa lapang dan jika seseorang mengingatnya ketika senang, maka dia tidak akan tertipu dengan dunia (sehingga lalai akan akhirat).”

Semoga Allah membimbing kita.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close