Berita UtamaUtama

Identiti 4 warga Myanmar maut tanah runtuh dikenal pasti

Mayat mangsa diserah kepada Kedutaan Myanmar untuk dibawa pulang

GEORGETOWN, 25 Syawal 1440H, Sabtu – Polis sudah mengenal pasti identiti empat warga Myanmar yang maut setelah tertimbus dalam kejadian runtuhan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa pertama dikenali sebagai Mg Seng Pya berusia 38 tahun.

Mangsa kedua dikenali sebagai Nai Cho Inn berusia 49 tahun, manakala mangsa ketiga adalah Mg Htwe, 38 tahun.

“Mangsa keempat dikenali sebagai Aung Tun Aye berusia 49 tahun. Pengecaman dibuat oleh pengurus resort berkenaan yang mana kesemua pekerja tersebut membuat kerja sambilan di resort itu dengan membina benteng penghadang tanah sejak seminggu lalu,” katanya.

Che Zaimani berkata, bedah siasat dibuat secara luaran dan dalaman ke atas keempat-empat mangsa pada jam 9 pagi, 26 Jun lalu, lapor Sinar Online.

“Hasil bedah siasat mendapati, Nai Cho In maut disebabkan hentakan benda tumpul pada kepala dan dada. Manakala Aung Tu Aye pula disebabkan lemas di dalam runtuhan yang menimpanya.

“Mg Seng Pya dan Mg Htwe pula meninggal dunia disebabkan kekurangan oksigen dan sukar bernafas apabila dihempap dengan struktur dinding serta tanah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa kejadian itu akan diserahkan kepada Kedutaan Myanmar bagi urusan membawa pulang ke negara berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam Selasa, empat pekerja asing warga Myanmar maut akibat tertimbus dalam kejadian runtuhan dinding di tebing Jalan Batu Feringghi.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika empat pekerja warga Myanmar berkenaan sedang melakukan kerja-kerja mengorek longkang sedalam 4.5 meter di kawasan tapak pembinaan itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close