Berita Utama

Zahid tidak mengaku salah terima rasuah RM42.76 juta

Mahkamah benar bekas TPM dibebas jaminan RM500,000

SHAH ALAM, 23 Syawal 1440H, Khamis – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kali ini dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Semalam, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan rasuah berhubung perkara sama berjumlah SGD4.24 juta (anggaran RM1=SGD3.06) dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid melibatkan visa ialah 40 pertuduhan.

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai SG150,000, RM325,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau keda-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin manakala peguam Kitson Foong yang mewakili Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan jumlah itu dan memohon jumlah yang munasabah.

Rozilah membenarkan Ahmad Zahid dibebaskan dengan jaminan RM500,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu telah menetapkan 18 November hingga 22 November, 2 Disember hingga 6 Disember dan 9 Disember hingga 13 Disember untuk perbicaraan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close