Berita UtamaIstimewaUtama

Tentang PPSMI habis-habisan

Rakyat akan bangkit jika laksana dasar yang rugikan anak bangsa

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 23 Syawal 1440H, Khamis – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana menentang sekeras-kerasnya pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam model lama ataupun penjenamaan baharu.

Menyifatkan PPSMI hanya meminggirkan peranan bahasa kebangsaan, Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya meminta pendirian kerajaan dan Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini, apabila jemaah menteri ada membincangkan semula dasar berkenaan.

Beliau berkata, pakar dan tokoh pendidikan sudah sepakat bahawa PPSMI terbukti memberikan banyak masalah kepada sistem pendidikan negara yang kesannya lebih kepada merosakkan anak bangsa.

“Sebab utama PPSMI perlu ditolak adalah kerana bahasa kebangsaan akan lebih terpinggir apabila sistem ini dilaksanakan. Maka, usaha memperkasakan bahasa kebangsaan akan terus terbantut.

“Kita tuntut pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan menyatakan dengan jelas apa pendirian mereka terhadap isu ini. Adakah ada alternatif yang lebih baik berbanding PPSMI atau mereka akan melaksanakannya semula?

“Tapi ingat, jika PPSMI dilaksanakan semula atau dasar alternatif baru yang merugikan rakyat dan negara dilaksanakan, Isma pasti akan menentang secara habis-habisan bersama pejuang bahasa dan pendidikan, NGO-NGO dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata, jemaah menteri ada berbincang mengenai pelaksanaan semula dasar PPSMI, bagaimanapun tiada keputusan dibuat.

Muhyiddin yang juga bekas Menteri Pelajaran ketika mengumumkan pemansuhan dasar berkenaan pada 2012 memberitahu, perbincangan yang dibuat bersifat umum dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

PPSMI pernah dilaksanakan pada tahun 2003 dan terbukti gagal. Berdasarkan kajian antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), pencapaian pelajar sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan matematik merosot dengan mendadak apabila sistem berkenaan dilaksanakan.

Malah, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pernah menyarankan agar subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close