Pendapat

Politik jijik binasakan ummah

Silap pilih kepimpinan bawa fitnah lebih dahsyat daripada Dajjal

MEDIA melaporkan bahawa video mirip pemimpin politik telah dimuatnaik dalam laman lucah. Bukankah ini akan menarik pembaca untuk membuka laman lucah pula? Nah! Inilah bencana dan musibah politik jijik.

2. Inilah musibah yang amat dibimbangi oleh Rasulullah ﷺ. Bencana yang lebih dahsyat daripada Dajjal. Dalam sebuah hadis, Abu Zar pernah menceritakan bahawa beliau berjalan dengan Rasulullah ﷺ. Lalu Rasulullah bersabda:

لَغَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُنِي عَلَى أُمَّتِي

“Ada satu fitnah yang lebih menakutkan aku daripada fitnah Dajjal.”

3. Rasulullah ﷺ mengulangi perkara ini sebanyak tiga kali. Lalu Abu Zar pun bertanya:

يَا رَسُولَ اللهِ ، مَا هَذَا الَّذِي غَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُكَ عَلَى أُمَّتِكَ ؟ قَالَ : ( أَئِمَّةً مُضِلِّينَ )

“Wahai Rasulullah ﷺ, fitnah apakah yang engkau lebih takut daripada Dajjal? Rasulullah ﷺ lalu bersabda: Para pemimpin (atau ulama) menyesatkan!” (HR Ahmad)

4. Biarpun hadis ini dinilai lemah (daif) oleh sebahagian pengkritik hadis, terdapat satu hadis yang hampir sama mengingatkan kita mengenai perkara ini. Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّمَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ

“Sesungguhnya aku bimbang ke atas umat aku akan ujian pemimpin (atau ulama) yang menyesatkan.” (HR Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani)

5. Ketika menghuraikan hadis ini, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan al-A’Immah di dalam lafaz ini adalah para pemimpin. Kata beliau:

وقال شيخ الإسلام ابن تيمية رحمه الله :
” فالأئمة المضلون هم الأمراء “

Dan Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah berkata: Yang dimaksudkan dengan para Imam yang menyesatkan ini adalah para pemimpin. (Majmu Fatawa)

6. Al-Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa pemimpin yang menyesatkan itu lebih membimbangkan daripada Dajjal. Kata beliau:

أَنَّ الْأَشْيَاءَ الَّتِي أَخَافُهَا عَلَى أُمَّتِي ، أَحَقُّهَا بِأَنْ تُخَافَ : الْأَئِمَّةُ الْمُضِلُّونَ

“Dalam perkara-perkara yang Rasulullah ﷺ takuti akan menimpa ke atas umatnya adalah yang paling utama sekali pemimpin yang menyesatkan.” (al-Nawawi Sharh Muslim)

7. Sheikh Ibn Uthamin memberikan perincian bahawa pemimpin yang menyesatkan itu termasuklah kumpulan kepimpinan daripada penganut Jahmiyyah dan Muktazilah. Hari ini, terdapat juga pemikiran muktazilah yang mirip dengan pemikiran liberal sekular yang diangkat oleh muslim sendiri.

8. Atas dasar itu pemilihan kepimpinan muslim bukan perkara yang kecil. Ia adalah pemilihan bagi memelihara agama. Tersilap dalam memilih kepimpinan akan membawa fitnah yang lebih dahsyat daripada Dajjal.

Moga Allah membimbing kita

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close