Berita UtamaUtama

PAS curiga tragedi Pasir Gudang berulang dalam masa singkat

Adakah sebab proses pembersihan tak lengkap atau pencemaran baru?

BANGI, 23 Syawal 1440H, Khamis – Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) curiga terhadap tragedi menimpa penduduk di daerah Pasir Gudang, Johor apabila sekali lagi terjejas dengan pencemaran sisa toksik dalam tempoh yang singkat.

Kesal dengan perkara itu, Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, penguatkuasaan seharusnya ditangani dengan lebih efektif oleh agensi pengawalan yang bertanggungjawab.

Justeru, DPPM menggesa kerajaan untuk meningkatkan penguatkuasaan, khususnya dalam peruntukan pengurusan sisa toksik berdasarkan Pengurusan Bahan Buangan Terjadual Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan Bahan Buangan Terjadual 2005.

“Pihak DPPM memandang serius perkara ini memandangkan peruntukan yang sedia ada di dalam PPBBT 2005 yang mewajibkan pihak pengeluar sisa toksik untuk memaklumkan kepada pihak berwajib dalam masa 30 hari.

“Pihak DPPM melihat peruntukan PPBBT 2005 yang menetapkan garis panduan pengurusan sisa buangan terjadual secara ‘cradle to grave’ bermula dari mula sisa toksik dihasilkan sehinggalah ianya dilupuskan secara selamat, sepatutnya dapat menghalang tragedi ini daripada berulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Susulan itu, kerajaan negeri Johor mengarahkan 17 buah sekolah, 69 tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi yang membabitkan 20,108 pelajar ditutup bermula Selasa lalu hingga hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Mengulas lanjut, Ir Khairil mempersoalkan punca insiden berkenaan berulang dalam tempoh hanya tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

“Adakah disebabkan oleh proses pembersihan yang tidak lengkap atau berpunca dari sumber pencemaran yang baru? DPPM berharap mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.

Menyokong aktiviti bantuan dan sokongan mangsa, beliau berkata, DPPM telah mengarahkan Jabatan Amal Malaysia (JAM) turun ke lokasi bagi sama-sama membantu agensi kerajaan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.

“Sebanyak empat stesen kawalan dan bantuan di kawasan terbabit telah pun diwujudkan.

“DPPM juga mengarahkan Dewan Pemuda PAS Negeri-Negeri dan kawasan untuk melakukan solat Hajat dalam waktu terdekat di seluruh negara agar dimudahkan segala usaha menyelamat dan mengawal situasi di sana serta diberikan kesabaran dan kerahmatan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close