Berita Utama

Umat Islam perlu jaga adab ketika ziarah kubur

Ada peraturan perlu dipatuhi elak fitnah, cetus kerisauan awam

PORT DICKSON, 10 Safar 1445H, Ahad – Umat Islam diingatkan supaya menjaga adab dan kelakuan serta mengelak daripada melakukan perkara dilarang agama ketika menziarahi tanah perkuburan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, masyarakat sememangnya digalakkan dan diharuskan menziarahi kubur kerana ia mengingatkan kepada kematian, namun, ada peraturan yang ditetapkan Islam yang perlu dipatuhi bagi mengelak tercetusnya kerisauan orang awam dan fitnah.

“Nak ziarah kubur sama juga macam kita menziarahi orang sakit, ada peraturan yang telah ditentukan dalam Islam.

“Contohnya masa menziarahi kubur digalakkan mendoakan dan ucap salam kepada si mati, ini sebahagian daripada ajaran Islam yang sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan kali kelapan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sebuah video tular di laman sosial baru-baru ini yang memaparkan sekumpulan lelaki berzikir dengan kuat dan lantang, sambil mengelilingi sebuah makam di sebuah negeri Pantai Timur. 

Katanya, mufti kerajaan negeri terbabit selaku pihak yang bertanggungjawab dalam segala hal berkaitan agama perlu menentukan dari segi hukum berkaitan amalan dilakukan di tanah perkuburan itu.

Selain itu, Mohd Na’im turut menasihatkan semua pihak termasuk ibu bapa dan guru untuk memainkan peranan bagi membendung perkara tidak bermoral terutama menerusi media sosial yang memberi pengaruh buruk terutama kepada golongan muda.

“Kita sendiri menempatkan beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menapis dan menyekat sebarang video yang mungkin menyeleweng daripada landasan agama, selain memberikan nasihat berkaitan agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya dalam pertimbangan menjadikan elaun guru KAFA sebagai gaji tetap, sekali gus membantu dan menjaga kebajikan mereka namun ia bergantung kepada kewangan negara.

Mengenai Ihtifal KAFA anjuran JAKIM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan itu, beliau berkata program disertai 448 pelajar tersebut bertujuan mencungkil bakat sebagai dai dan pembimbing rakan sebaya dalam kalangan murid sekolah.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button