Berita UtamaUtama

Tanah runtuh: Tindakan kepada majikan jika langgar akta

Majikan perlu bertanggungjawab kenal pasti bahaya di tempat kerja

BANGI, 22 Syawal 1440H, Rabu – Tindakan perundangan akan dikenakan terhadap majikan pusat peranginan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, jika terdapat pelanggaran akta sehingga mengakibatkan kematian dalam insiden tanah runtuh, semalam.

Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) Pulau Pinang, Datuk Mahfuz Omar berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan siasatan selepas  menerima laporan kejadian itu.

“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (1994) dan Akta Kilang dan Jentera terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Lost Paradise Resort, Jalan Batu Feringghi, Tanjung Bungah, Pulau Pinang malam semalam sehingga mengakibatkan empat warga asing maut tertimbus dalam kejadian itu.

Keempat-empat mangsa dipercayai warga Myanmar, berjaya dikeluarkan selepas hampir enam jam tertimbus di dalam longkang yang dipenuhi besi cerucuk.

Mengulas perkara itu, Mahfuz berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan yang berlaku, terutamanya membabitkan pekerja atau orang awam.

“Majikan di tempat kerja berkenaan harus mempunyai kawalan penuh terhadap sebarang aktiviti berkaitan. Majikan mempunyai bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja. 

“Perlu membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan terhadap pekerja sepanjang tempoh kerja itu dilaksanakan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close