Berita UtamaUtama

‘Pesawat lewat bukan isu besar, boleh saja jumpa di Malaysia’

Buatlah surat peribadi jika mahu tegur syarikat penerbangan negara

BANGI, 22 Syawal 1440H, Rabu – “Tidak wajar menteri mengeluarkan kenyataan memburukkan penerbangan negara. Kelewatan pesawat perkara biasa.

“Semua orang tahu perkara ini, maka tidak perlulah heboh dan diperbesarkan, seolah-olah macam kita sahaja ada perkara penting,” kata pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata demikian mengulas kekecewaan Kementerian Pertahanan terhadap Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) berhubung kelewatan pesawat syarikat penerbangan negara sehingga membuatkan menterinya terlepas temu janji dengan perdana menteri.

Terdahulu, Pejabat Menteri Pertahanan memaklumkan, Menterinya, Mohamad Sabu sepatutnya mengadakan temu janji penting dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di London, namun terpaksa dibatalkan atas kelewatan pesawat Malaysia Airlines berlepas kira-kira dua jam 30 minit dari Kuala Lumpur.

Difahamkan, kelewatan pesawat penerbangan MH002 yang sepatutnya membawa Mohamad Sabu ke London berpunca daripada masalah teknikal.

Menegur tindakan Kementerian Pertahanan, Ridhuan Tee berkata, tatkala penerbangan Malaysia sedang bergelut keluar daripada kemelut masalah kerugian yang ditanggung selama ini, maka kementerian itu tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menjejaskan industri penerbangan negara.

“Jika pertemuan dengan PM menjadi sesuatu perkara yang amat penting, takkan lari gunung dikejar. PM tetap ada dan akan balik ke negara. Bertemulah selepas itu. Tidak semestinya bertemu di London.

“Jika terlampau sangat pentingnya, boleh telefon terus PM. Zaman sekarang ini, maklumat di hujung jari sahaja, jika tidak dapat pun bertemu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Ridhuan Tee sekali lagi menegaskan, isu ini tidak perlu diperbesarkan berikutan kelewatan pesawat adalah perkara biasa, malah rakyat juga tahu mengenai perkara itu.

“Selagi kita tidak mempunyai kapal terbang sendiri seperti kemudahan PM dam TPM, janganlah berangan untuk dapat lebih daripada itu, walaupun saya tidak nafikan tentera juga mempunyai penerbangan khas.

“Tidak ada pengangkutan awam yang mahu lewat atau sengaja berbuat demikian, jika tidak ada aral melintang, sama juga dengan MAS. Semua ini adalah perniagaan yang membabitkan untung rugi,” katanya.

Dalam pada itu, Ridhuan Tee yang juga Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyarankan supaya kementerian membuat surat secara peribadi sekiranya mahu menegur syarikat penerbangan itu.

“Jika mahu juga menegur MAS, surat menteri secara peribadi sudah cukup untuk menggetarkan pengurusan MAS. Penerbangan lain tidak kurang juga kelewatannya, termasuk Air Asia. Kenapa tidak membuat kenyataan akhbar.

Saban minggu saya menaiki pesawat ini, kita tahu bagaimana permainan silap mata mereka. Saya fikir kita tidak berlaku adil kepada penerbangan Malaysia, apa tujuan kenyataan dikeluarkan. Amat memalukan seorang pegawai daripada Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Cukuplah sebelum ini kita mengeluarkan kenyataan mengenai kelemahan sistem pertahanan dan keselamatan negara kepada khalayak, seperti ketidakupayaan kapal kita mengejar kapal daripada China. Begitu juga kerosakan yang dialami oleh kapal selam dan jet pejuang sebelum ini,” katanya.

Selaku pelajar yang pernah mempelajari mengenai pertahanan dan keselamatan atau pengajian strategi, Ridhuan Tee merasakan, tindakan mendedahkan kelemahan keselamatan dan pertahanan negara akan menyebabkan musuh mengetahui dan mengambil kesempatan.

“Tidak cukupkah lagi berapa ramai jeneral dan pegawai tinggi tentera menasihatkan menteri mengenai perkara ini. Saya tersangat musykil. Kalau tidak silap saya, mengikut norma antarabangsa, kelewatan dalam lingkungan empat jam masih boleh diterima. Biasanya syarikat penerbangan akan memberikan sedikit ‘pampasan’ kerana penantian yang agak lama seperti makan minum.

“Saya sarankan, menteri dapat menjaga pegawainya agar tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati yang boleh menjadi bahan ketawa, kecualilah dengan arahan menteri,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close